SERANGAN ke atas pejabat akhbar di Annapolis, Amerika Syarikat yang menyebabkan lima terbunuh pada Khamis disifatkan polis sebagai serangan terancang selepas organisasi itu menerima ancaman di media sosial.
“Ini adalah serangan terancang ke atas Capital Gazette,” kata pemangku ketua polis daerah Anne Arundel, Bill Krampf kepada pemberita dalam satu taklimat.
Beliau berkata pihak polis sedang mengenal pasti motif penembak namun: “Kami tahu terdapat ancaman dihantar kepada Capital Gazette menerusi media sosial.”
“Kami sedang cuba mengesahkan apakah akaun itu dan sedang cuba untuk mengesahkan siapa sebenarnya yang menghantar ancaman tersebut,” kata Krampf.
Krampf berkata ancaman itu tidak disasarkan terhadap individu tertentu tetapi terhadap media itu secara keseluruhan.
Penyerang, yang sebelum ini dikenal pasti sebagai lelaki kulit putih, dikatakan berusia “lewat 30-an” dan menetap di Maryland.
Krampf berkata penyerang melemparkan bom asap sebelum memasuki ruang bangunan pejabat. – AFP, 29 Jun, 2018.
Komen