133 politikus dibunuh menjelang pilihan raya Mexico


133 politikus terbunuh dalam keganasan pilihan raya Mexico, kebanyakan adalah ahli politik daerah yang jadi sasaran kartel dadah. – Gambar AFP, 29 Jun, 2018.

133 ahli politik dibunuh menjelang pilihan raya umum Mexico Ahad ini, kata firma perunding Etellekt ketika keganasan besar-besaran melanda arena politik negara itu.

Pembunuhan itu- kebanyakannya berlaku pada ahli politik daerah, golongan yang paling kerap jadi sasaran kartel dadah Mexico- dicatatkan antara September, apabila pendaftaran calon dibuka dan tempoh akhir berkempen pada Rabu apabila seorang datuk bandar sementara dibunuh di Micoacan.

Mangsa termasuklah 48 calon bertanding- 28 dibunuh ketika tempoh awal kempen dan 20 semasa kempen pilihan raya umum, kata Etellekt yang menjalankan kajian keganasan berkaitan pilihan raya kepada AFP pada Khamis.

“Keganasan ini tertumpu kepada peringkat tempatan. Sekurang-kurangnya 71% serangan menyasarkan wakil rakyat dan calon bertanding peringkat tempatan,” kata pengarah syarikat Ruben Salazar.

“Ini adalah kesan masalah pentadbiran yang serius di peringkat tempatan,” katanya kepada rangkaian radio Mexico, Formula.

Hanya seorang mangsa yang bertanding untuk pejabat persekutuan, katanya.

Jumlah itu adalah keganasan terburuk pernah dicatatkan Mexico.

“Pada pilihan raya 2012, hanya sembilan orang ahli politik dan seorang calon dibunuh, menurut rekod kami,” kata Salazar.

Negara itu juga mencatakan jumlah pembunuh tinggi tahun lepas: 25,339.

Dan rekod itu dijangka dipecahkan lagi tahun pada 2018. Mei menjadi bulan terburuk sejak kerajaan mula merekod statistik pembunuhan negara pada 1997, iaitu 2,890 kes.

Mexico dilanda gelombang keganasan sejak kerajaan menghantar tentera untuk memerangi sindiket pengedaran dadah pada 2006.

Sejak itu, lebih 200,000 orang terbunuh- walaupun kerajaan tidak mempunyai rekod berapa banyak kes pembunuhan ada kaitan dengan jenayah terancang.

30,000 orang lagi dilaporkan hilang.

Salazar berkata keganasan politik didorong oleh perpecahan kartel dadah sejak perang dadah bermula.

Mexico akan memilih presiden baharu, Kongres dan ribuan wakil rakyat negeri dan daerah pada Ahad dalam kempen yang didominasi isu korupsi dan keganasan. – 29 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen