Majoriti bahagian Umno sokong Zahid, menurut kajian


Zulkifli Sulong

Menurut kajian Ilham Centre, Ahmad Zahid Hamidi kini mendahului perebutan jawatan presiden dengan mendapat 51% sokongan bahagian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2018.

KEPIMPINAN Umno dijangka tidak berubah apabila perebutan jawatan presiden menyaksikan Ahmad Zahid Hamidi mendahului dengan 51% sokongan manakala Khairy Jamaluddin tercicir di belakang dengan hanya 6% sokongan, menurut kaji selidik Ilham Center. 

Tengku Razaleigh Tengku Hamzah pula mengekori dengan 35% sokongan. Hanya 8% perwakilan masih belum dapat dikenal pasti kecenderungan pilihan mereka.

Rumusan sokongan itu diperolehi daripada kajian tatap muka yang dijalankan pada 21 hingga 28 Jun dengan 581 perwakilan dari 101 bahagian di Semenanjung.

Umno mempunyai 191 bahagian termasuk di Sabah.

Keputusan upset

“Kajian ini menyaksikan perasaan bercampur baur dan perwakilan mulai kritikal terhadap kepimpinan tertinggi Umno. 

“Keadaan ini menyaksikan tradisi warlord akan dicabar dengan arus perubahan. Moral ahli dan perwakilan Umno jelas ketara berada dalam tahap paling rendah,” kata Pengerusi Eksekutif Ilham Centre Mohamad Hisomuddin Bakar.

Golongan warlord Umno inilah yang memujuk perwakilan di peringkat cawangan untuk berkompromi sehinggalah ke detik akhir sebelum membuang undi, katanya. 

“Sekiranya tradisi ini dipecahkan, keputusan sebaliknya boleh berlaku dengan majoriti tipis memihak kepada Ku Li,” kata Hisommudin dalam kenyataannya sehari menjelang pemilihan Umno esok.

Katanya, strategi kempen oleh calon yang bertanding bertumpu di negeri yang mempunyai jumlah bahagian yang besar seperti Johor (26), Sabah (25), Perak (24) dan Selangor (22). 

“Mereka yang menguasai negeri-negeri ini, mempunyai kelebihan untuk memenangi pemilihan ini,” katanya.

Bagi Ilham Centre, pemilihan sesi 2018 ini merupakan pemilihan paling getir dan berliku buat perwakilan untuk memilih kombinasi pemimpin terbaik.

Barisan pemimpin baharu itu perlu menerajui Umno selepas parti terbesar Melayu ini tewas dan hilang tampuk kekuasaan dalam kerajaan buat pertama kali.

“Moral ahli dan perwakilan Umno jelas ketara berada dalam tahap paling rendah,” katanya.

Katanya, persoalan penting dalam pemikiran ahli dan perwakilan Umno ialah sama ada Umno mampu bangkit kembali selepas hampir tersungkur dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) 14 lalu? 

“Bolehkah Umno kembali bertaut kukuh selepas perpecahan dalam pemilihan Umno kali ini?” katanya lagi.

Peluang Khairy Jamaluddin untuk jadi presiden Umno masih samar apabila kajian menunjukkan politikus terkenal itu hanya meraih 6% sokongan bahagian menjelang pemilihan Sabtu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2018.

Tanggungjawab berat

Polemik dan isu yang melatari perbincangan para perwakilan kali ini sehangat perbincangan semasa pilihan raya umum yang lalu, katanya. 

“Sebahagian mereka menuding punca kekalahan Barisan Nasional (BN) (sebagai) kegagalan kepimpinan Umno menegur presiden dan mereka yang berada dalam Kabinet lama,” kata Hisommudin.

Menurut kajian itu, selepas Najib Razak melepaskan jawatan sebagai presiden, tanggungjawab berat mengangkat semula maruah Umno kini dipikul pemangku presiden Ahmad Zahid Hamidi. 

Bagaimanapun, keadaan menjadi tidak menentu kerana mandat Zahid itu dicabar dalam pemilihan kali ini. 

Tindakan Naib Presiden Hishamuddin Hussein menarik diri daripada semua jawatan yang dipertandingkan memburukkan lagi keadaan.

Menurut Hisomuddin, kemunculan semula veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan tindakan tokoh muda Khairy Jamaluddin bertanding dalam pemilihan bagaimanapun akan mewarnai pemilihan kali ini. 

Walaupun ada calon tambahan untuk mencabar kerusi presiden iaitu Mohamed Iqbal Maricair dan Yusof Musa @ Jamaludin, kedua-dua calon ini gagal memberi saingan kepada tiga calon utama di atas, katanya. 

Oleh itu, katanya, tumpuan perwakilan lebih terarah kepada kemampuan tiga calon utama itu untuk meyakinkan mereka mengenai usaha membina semula kekuatan, menyatukan kembali perpecahan dan menawan hati rakyat untuk terus menyokong Umno.

“Penguasaan warlord di kalangan pengerusi perhubungan negeri dan ketua bahagian tertentu dicabar dengan arus perubahan ketara suara kebebasan dari cengkaman ini. 

“Perwakilan mulai menuntut hak mereka untuk bersuara secara bebas tanpa dikawal oleh keputusan pihak lain. Tetapi, suara ini minoriti dan masih gagal menenggelamkan pengaruh budaya warlord ini,” katanya. 

Pertembungan penyokong 3 calon utama

Dalam pada itu, pemilihan kali ini juga menunjukkan sebahagian besar ketua bahagian melepaskan jawatan dan digantikan dengan muka baru. 

Sebahagian lagi berlaku pertandingan. Bahagian yang terlibat dengan perebutan jawatan mengakibatkan pertembungan di antara penyokong Zahid Hamidi, Ku Li ataupun Khairy. 

“Pecahan undi berlaku kerana perwakilan cawangan berada di persimpangan sama ada memilih Zahid Hamidi dan Ku Li, manakala KJ berjaya menawan hati perwakilan muda dan wanita,” kata Hisommudin. – 29 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen