PENGAWAL sempadan Myanmar bertindak menembak dan mencederakan kanak-kanak Myanmar ketika bermain di jalur tanah tidak bertuan berhampiran sempadan Bangladesh pada Khamis, kata pemimpin komuniti.
Anasar Ullah, 10, ditembak berhampiran pagar berduri yang dibentangkan pihak Myanmar di sebelah kawasan zon penampan yang juga dikenali sebagai zero line.
Lebih 700,000 umat Islam Rohingya dipaksa meninggalkan negeri Rakhine di Myanmar tahun lalu selepas tindakan tentera yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu sebagai “pembersihan etnik”.
Kebanyakan pelarian mendirikan kem di Bangladesh namun sekitar 6,000 orang tinggal di zon penampan antara sempadan dua negara terbabit.
“Beberapa orang kanak-kanak bermain berhampiran pagar itu apabila beberapa tembakan peluru hidup dilepaskan dari berhampiran pos BGP (Polis Pengawal Sempadan Myanmar) mengenai Ansar,” kata pemimpin komuniti Dil Mohammad Said.
Kanak-kanak malang itu mengalami kecederaan di bahagian peha dan dikejarkan ke hospital yang diuruskan oleh Doktor Tanpa Sempadan (MSF) di dalam kem Rohingya untuk rawatan.
Seorang lagi pemimpin komuniti, Mohammad Arif, turut meluahkan kemarahannya.
“Adakah kanak-kanak 10 tahun yang tidak bersenjata dilihat sebagai ancaman kepada mereka? Mereka amat memalukan kerana menembak kanak-kanak awam yang tidak bersenjata,” kata Arif kepada AFP.
Sementara itu Komander pengawal sempadan Bangladesh Leftenan Kolonel Manzurul Hasan Khan berkata, tembakan itu datang dari zon penampan dari sebelah Myanmar.
Namun beliau tidak pasti sama ada tembakan itu dilepaskan dari pos BGP. “Kami akan menghantar nota bantahan,” katanya. – AFP, 28 Jun, 2018.
Komen