PULUHAN penerbangan dibatalkan pada Khamis selepas gunung berapai di Bali meletus memuntahkan debu dan asap setinggi lebih 1,000 meter ( 3,300 kaki) ke udara.
Syarikat penerbangan AirAsia terpaksa membatalkan 22 penerbangan dari dan ke pulau peranginan Indonesia itu berikutan letusan Gunung Agung, yang terletak kira-kira 75 kilometer dari hab pelancongan Kuta.
Syarikat itu turut menunda lima lagi penerbangan ke Bali.
Jurucakap lapangan terbang antarabangsa Ngurah Rai, Arie Ahsanurrohim memberitahu AFP, syarikat penerbangan Australia, JetStar turut membatalkan 14 penerbangan selepas letusan itu walaupun ujian debu di lapangan terbang berkenaan memberi bacaan negatif.
Bagaimanapun, agensi pengurusan bencana Indonesia berkata status bahaya Agung tidak berubah dan penerbangan tidak berada dalam bahaya.
Kawah gunung berkenaan meletus secara berkala sejak ia kembali bergegar pada tahun lalu.
Aktiviti gunung berkenaan makin perlahan beberapa ketika sebelum letusan kembali mengancam pada November menyebabkan jadual perjalanan terganggu dan memberi kesan kepada industri pelancongan Bali serta ekonominya.
Terdapat zon larangan empat kilometer di sekitar Gunung Agung.
Letusan terbesar gunung berapi berkenaan adalah pada tahun 1963 yang menyebabkan kira-kira 1,600 orang terkorban.
Indonesia terletak di kawasan guung berapi aktif dan berada di “Lingkaran Api Pasifik” di mana pertemuan dua plet tektonik berlaku, menyebabkan sering berlaku aktiviti vulkanik dan seismik. – AFP, 28 Jun, 2018.
Komen