Zahid akan buktikan wang dimiliki Umno sah


Pemangku presiden Ahmad Zahid Hamid berkata akan memberi kerjasama sepenuhnya akan diberi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung pembekuan akaun bank ibu pejabat Umno dan akaun lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2018.

NAIB Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata akan berusaha membuktikan wang dimiliki parti itu adalah sah dan tidak terbabit dalam sebarang kegiatan pengubahan wang haram.

Zahid yang menjalankan tugas-tugas presiden berkata Umno akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembekuan akaun bank ibu pejabat Umno dan akaun lain.

“Selagi memimpin Umno, saya akan menentang dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak membuat ugutan dan melakukan diskriminasi terhadap Umno. Ugutan dan penderaan politik bukan cara untuk mentadbir negara oleh mana-mana kerajaan di sebuah negara demokrasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berharap semua anggota Umno akan bersama-sama beliau dalam memastikan parti itu terus wujud dan menentang sebarang usaha melumpuhkannya.

Beliau turut memberi jaminan sekiranya dipilih sebagai presiden parti pada pemilihan Sabtu ini, Umno akan bangkit sebagai sebuah parti Melayu dan Bumiputera yang memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara.

Terdahulu hari ini pada satu majlis di Johor Baru, Zahid mendakwa SPRM membekukan akaun Umno pusat. – Bernama, 28 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen