Lima terbunuh dalam nahas pesawat di Mumbai 


Pesawat ringan jenis King Air C-90 membawa empat penumpang termasuk juruterbang dan pembantu serta dua jurutera penyelenggara pesawat ketika nahas itu berlaku.– Gambar Youtube, 28 Jun, 2018.

SEBUAH Pesawat ringan terhempas di tapak pembinaan di kawasan berpenduduk padat di Mumbai India pada Khamis, menyebabkan lima orang terbunuh termasuk seorang pejalan kaki. 

“Lima mangsa terbunuh selepas cedera parah ketika pesawat berkenaan terhempas, termasuk seorang juruterbang, pembantu juruterbang dan pejalan kaki,” kata jurucakap polis Mumbai Deepak Deoraj kepada AFP.

Ketika kejadian terdapat empat penumpang menaiki pesawat yang mempunyai 12 tempat duduk, kata jurucakap pengurusan bencana Mumbai Tanaji Kamble. 

Pengarah Penerbangan Awam India (DGCA) berkata nahas itu membabitkan pesawat jenis King Air C-90.

Ia terhempas ketika menjalankan ujian penerbangan dari landasan Juhu berdekatan, kata DGCA satu kenyataan. 

“Terdapat dua juruterbang dan dua jurutera penyelenggara kapal terbang menaiki pesawat berkenaan. Kesemua penumpang pesawat itu dan seorang pejalan kaki yang lalu di tempat kejadian terbunuh,” menurut kenyataan itu.

Rakaman yang disiarkan oleh saluran berita India menunjukkan asap hitam dan api marak di kawasan kejadian yang berhampiran bangunan apartmen.

DGCA berkata, punca nahas berkenaan masih disiasat. – AFP, 28 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen