10,000 akaun Facebook ditutup menjelang pilihan raya Mexico


Terdapat lebih 84 juta pengguna Facebook di Mexico dan memandangkan pilihan raya presiden semakin hampir iaitu pada 1 Julai, berita tidak benar boleh memberikan kesan buruk kepada negara. – Gambar EPA, 28 Jun, 2018.

PENINGKATAN berita tidak benar yang menular di media sosial menjelang pilihan raya Mexico, mendorong Facebook memadam lebih 10,000 akaun dalam kalangan negara Amerika Utara.

Terdapat lebih 84 juta pengguna Facebook di Mexico dan memandangkan pilihan raya presiden semakin hampir iaitu pada 1 Julai, berita tidak benar boleh memberikan kesan buruk kepada negara.

“Facebook memang bekerja keras untuk memadam kandungan berunsur kebencian selepas banyak bukti perkara berkenaan dikesan pada pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada 2016.

“Sudah tentu, satu lagi kawasan panas yang menjadi tumpuan rangkaian media sosial semasa adalah pilihan raya yang akan berlangsung di Mexico,” kata Ketua Dasar Keselamatan Siber Facebook, Nathaniel Gleicher.

Beliau berkata, tiada tempat di Facebook untuk tingkah laku sedemikian, kerana pelaburan dibuat untuk pengguna dan teknologi bagi memastikan tiada kandungan negatif.

“Pada suku pertama 2018, kami memadamkan 837 juta spam dan 2.5 juta mesej berunsur kebencian selain menyahaktifkan 583 juta akaun palsu di seluruh dunia,” kata Gleicher.

Pilihan raya Mexico menyaksikan pertembungan empat calon presiden: Andres Manuel Lopez Obrador (Amlo), Ricardo Anaya, Jose Antonio Meade dan Jaime Rodriguez Calderon.

Turut dijalankan pemilihan pelbagai calon untuk negeri dan perbandaran. – Bernama, 28 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen