SEORANG pereka fesyen New York mengakui terbabit dalam skim rasuah antarabangsa membabitkan adik dan anak saudara bekas setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon.
Malcolm Harris, 53, mengaku bersalah di mahkamah persekutuan New York atas kesalahan penggubahan wang haram dan penipuan selepas menerima rasuah AS$500,000 bagi tujuan memujuk pegawai di negara Timur Tengah yang tidak dinamakan untuk membeli bangunan 72 tingkat di Vietnam, menurut Jabatan Kehakiman (DoJ) dalam satu kenyataan.
Wang itu disediakan Ban Ki-sang, eksekutif kanan di syarikat Korea Selatan, Keangnam Enterprises Co Ltd., dan anak lelakinya Joo Hyun Bahn atau Dennis Bahn, yang cuba menjual bangunan pencakar langit Hanoi itu pada harga AS$800.
Sejak 1977, Amerika Syarikat (AS) mengenakan tindakan undang-undang terhadap kegiatan merasuah pegawai asing untuk mendapatkan perniagaan. Di bawah undang-undang itu, pihak berkuasa AS biasa memburu warga asing jika perbuatan mereka membabitkan pihak berkuasa AS, sistem perbankan AS atau syarikat yang sahamnya diniagakan di AS.
Pada Januari, Sang Woo atau turut dikenali sebagai John Woo turut didakwa, kerana berkonspirasi untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Luar Negara.
Pendakwa persekutuan percaya antara Mac 2013 hingga Mei 2015, Harris, Bahn dan Ban berkonspirasi untuk merasuah seorang pegawai luar negara yang tidak dikenal pasti di Timur Tengah bagi mendapatkan jualan bangunan Landmark 72, yang dibina oleh Keangnam.
Menurut kenyataan DoJ, Harris mendakwa ada hubungan dengan pegawai luar negara terbabit, menghantar beberapa emel palsu yang kononnya ditulis oleh pegawai berkenaan.
Pada April 201, Ban dan Bahn dikatakan bersetuju membayar rasuah AS$500,000, wang pendahuluan daripada AS$2 juta lagi sebaik saja pembelian itu berjaya.
Tetapi Harris mengambil wang itu, menggunakannya untuk pembelian mewah peribadi, termasuk rumah penthouse di Williamsburg, Brooklyn.
DoJ berkata Bahn akan turut didakwa di New York sementara Ban masih dalam pelarian dan pada masa ini menetap di Korea Selatan. – AFP, 22 Jun, 2017.
Komen