Switzerland pertimbang perkenal sistem e-undi untuk pilihan raya


Sejak 15 tahun lalu, Switzerland menjalankan lebih 200 percubaan pengundian sistem itu di seluruh negeri dan daerah. Hanya sebilangan pengundi berdaftar sahaja yang terbabit. – Gambar AFP, 28 Jun, 2018.

KERAJAAN Switzerland sedang mempertimbang untuk memperkenalkan sistem mengundi secara elektronik sebagai alternatif kepada penggunaan kertas undi pada pilihan raya, lapor agensi berita Xinhua.

‘‘Pakar berpendapat sistem e-undi merupakan kaedah selamat dan dipercayai. Sudah tiba masanya untuk perkara itu dibincangkan dengan lebih mendalam,” kata Canselor Persekutuan Switzerland, Walter Thurnherr pada Rabu.

Sejak 15 tahun lalu, Switzerland menjalankan lebih 200 percubaan pengundian sistem itu di seluruh negeri dan daerah. Hanya sebilangan pengundi berdaftar sahaja yang terbabit.

“Kaedah itu sepatutnya menjadi pilihan, tetapi bukan kewajiban,” kata Thurnherr.

Setakat ini, dua sistem yang sering digunakan iaitu undi pos dan undi biasa.

Thurnherr, diberi mandat untuk mengemukakan cadangan terperinci pada akhir tahun ini berkaitan pelaksanaan kaedah itu, yang akan tertakluk kepada prosedur rundingan dalam kalangan parti politik, institusi dan daerah.

Ia kemudian akan dibahaskan di peringkat Parlimen dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengkritik berpendapat sistem itu tidak selamat kerana ia boleh digodam.

Tahun lepas, pada dasarnya kerajaan bersetuju untuk e-undi dilaksanakan, sekurang-kurangnya di 18 negeri dan 26 daerah menjelang Oktober 2019. – Bernama, 28 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen