Pemilihan Wan Saiful sebagai ketua PTPTN bukan lantikan politik, kata Maszlee


Wan Saiful Wan Jan dilantik sebagai pengerusi PTPTN selepas beberapa individu menolak kerana enggan menggalas tanggungjawab yang besar dan berat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2018.

PELANTIKAN Wan Saiful Wan Jan sebagai pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bukanlah bersifat politik, kata Maszlee Malik.

Menteri pendidikan itu berkata Wan Saiful dilantik hanya selepas beberapa individu enggan menerima jawatan itu.

“Kami cuba menghubungi beberapa pihak, terutamanya daripada latar belakang ekonomi atau kewangan. Bagaimanapun, tiada siapa inginkan pekerjaan itu kerana tanggungjawab besar yang terpaksa dipikul dan mereka takut mengambil risiko,” katanya hari ini.

Pelantikan Wan Saiful menimbulkan persoalan tentang pemberian ganjaran kepada calon-calon yang kalah semasa Pilihan Raya Umum ke-14.

Wan Saiful bertanding di kerusi Pendang tetapi kalah.

Maszlee berkata Wan Saiful mempunyai tugas besar untuk memenuhi semua janji mengenai PTPTN dalam masa 100 hari.

“Jika anda bertanya kepada saya, ini bukanlah satu pertolongan politik, tetapi sebaliknya beban kepadanya,” kata beliau.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjanji dalam manifesto pilihan raya untuk membolehkan peminjam PTPTN menangguhkan pembayaran balik jika mereka memperoleh pendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan.

“PH membuat janji ini, dan ia akan memenuhinya.

“Walaupun demikian, masih menjadi tanggungjawab moral setiap rakyat Malaysia, apabila mereka meminjam, untuk membayarnya semula.

PTPTN menyaksikan penurunan kutipan sejak Januari, selepas PH mengumumkan ia akan menangguhkan pembayaran balik pinjaman bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan.

Wan Saiful berkata perbadanan sedang mengkaji bagaimana untuk memenuhi janji ini.

Beliau berkata ia bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Persaraan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, dan berkata pengumuman terakhir mengenai isu itu akan dibuat pada 17 Ogos, pada hari ke-100. – 28 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen