Maszlee buat laporan polis lelaki menyamar setiausaha peribadi


Low Han Shaun

MENTERI Pendidikan Maszlee Malik membuat laporan polis terhadap seorang lelaki yang didakwa mengaku sebagai setiausaha peribadi beliau.

Mazlee berkata lelaki itu menghubungi jabatan pendidikan di Miri, Sarawak, dan memperkenalkan diri sebagai Anuar Isa.

Lelaki itu didakwa menghubungi pejabat jabatan beberapa hari lalu untuk mendapatkan maklumat tentang sekolah yang memerlukan penyelenggaraan.

“Anuar Isa (ini) meminta untuk mendapatkan maklumat mengenai sekolah-sekolah yang memerlukan penyelenggaraan di mana kononnya saya akan membuat lantikan terus untuk kontraktor,” kata Maszlee kepada pemberita di Kementerian Pendidikan di Putrajaya.

“Ini adalah palsu.”

Beliau berkata sudah membuat laporan polis dan menganggapnya sebagai kes pencurian identiti yang serius.

“Saya mengambil serius hal ini kerana ia merupakan usaha berani menggunakan nama setiausaha menteri untuk penyalahgunaan kuasa,” katanya.

“Saya memberi amaran kepada sesiapa sahaja yang saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menggunakan nama saya demi keuntungan peribadi,” katanya. – 28 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen