Lakukan sabotaj, 11 pekerja syarikat minyak Venezuela ditahan


PEGUAM Negara Venezuela, Tarek William Saab, pada Rabu berkata sejumlah 11 pekerja syarikat minyak milik negara Petroleum of Venezuela (PDVSA) ditahan berhubung kes penyelewengan yang menjejaskan syarikat-syarikat dalam wilayah Orinoco Oil Belt.

Mereka yang ditahan merupakan pekerja depoh simpanan minyak mentah “Jose Antonio Anzoategui” dan depoh muatan di timur Venezuela.

Saab berkata mereka disyaki melakukan tindakan sabotaj yang menyasarkan industri minyak. Beliau berkata pekerja terbabit didapati terlibat dalam kedua-dua tindakan sabotaj yang mengakibatkan kerugian sebanyak AS$14 juta kepada negara.

Insiden pertama pada 14 Jun menyaksikan bekalan nafta kepada dua syarikat, PetroMonagas dan Petrosinovensa, terhenti sehingga mengakibatkan kerugian dari segi minyak mentah sebanyak 175,000 tong dan AS$11.375 juta selepas pengeluarannya dihentikan.

Tindakan sabotaj kedua berlaku pada 16 dan 17 Jun apabila kesilapan yang teruk dibuat ketika memproses muatan minyak mentah ke dalam dua bot, Aries Sun dan Nerissa, kata peguam negara itu.

Saab berkata Aries Sun sepatutnya membawa sejumlah 400,000 tong minyak mentah Zuata 300 sebagai muatan manakala Nerissa perlu memuatkan 1.8 juta tong minyak mentah Merey.

Sebelum amaran berjaga-jaga dikeluarkan oleh PetroCedeno yang menghasilkan minyak mentah terbabit, didapati sejumlah 200,000 tong hilang daripada Aries Sun manakala Nerissa pula terlebih muatan sebanyak 162,000 tong.

Siasatan juga mendedahkan dalang yang bertanggungjawab bagi salah pengendalian muatan itu dan PDVSA terpaksa membayar pampasan sebanyak AS$2,733,738 kepada pelanggan.

Selain itu, sejumlah 90 pekerja PDVSA diambil tindakan disiplin termasuk 23 pengurus kanan, kata Saab. – Bernama, 28 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen