FBI: Insiden tikam pegawai polis di Michigan tindakan keganasan


FBI menganggap insiden tikaman terhadap pegawai polis veteran Jeff Neville sebagai tindakan keganasan. – Gambar AFP, 22 Jun, 2017.

BIRO Penyiasatan Persekutuan (FBI) hari ini berkata pihaknya menyiasat kes kejadian serangan dengan pisau terhadap pegawai polis di lapangan terbang Michigan semalam oleh seorang lelaki menjerit Allahuakbar, sebagai “tindakan keganasan”.

Suspek warga Kanada berusia 50-an bernama Amor Ftouhi itu kini dalam tahanan dan memberi kerjasama kepada penyiasat, kata ejen khas FBI David Gelios pada sidang akhbar.

“Kami menyiasat insiden itu sebagai tindakan keganasan,” katanya.

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan Ftouhi berlegar di Lapangan Terbang Antarabangsa Bishop dengan beg sebelum mengeluarkan pisau sepanjang 12 inci menjerit “Allahuakbar” dan menikam seorang pegawai polis di leher di kawasan awam, kata polis.

Pegawai yang tercedera itu dikenal pasti sebagai Jeff Neville, berpengalaman 16 tahun sebagai pegawai di lapangan terbang, kini selesai menjalani pembedahan dan berada dalam keadaan stabil.

Neville bergelut dengan Ftouhi selepas an itu, kata polis.

Pihak berkuasa berkata Ftouhi meluahkan “kebencian kepada Amerika Syarikat” ketika disoal siasat.

Media Kanada melaporkan polis menjalankan siasatan di rumah Ftouhi di Montreal dan membuat dua tangkapan berkaitan kejadian tikaman itu.

Rakaman televisyen tempatan menunjukkan bangunan empat tinggal di mana Ftouhi dipercayai menetap, di kawasan Rosemont, Montreal.

Ftouhi masuk ke AS secara sah di Lake Champlain, New York pada 16 Jun, kata Gelious.

“Kami masih cuba mendapatkan maklumat lanjut ke mana dia pergi selepas tiba di AS,” katanya.

Tiada penumpang cedera dalam serangan semalam, dan lapangan terbang itu dikosongkan dan masih ditutup sehingga notis lanjut. – AFP, 22 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen