AS gesa Majlis Keselamatan PBB sekat Iran


Timbalan Duta Besar AS ke PBB, Jonathan Cohen menuduh Iran membekalkan peluru berpandu kepada pemberontak Houthi di Yaman yang melanggar sekatan senjata antarabangsa. – Gambar EPA, 28 Jun, 2018.

AMERIKA Syarikat (AS) pada mesyuarat mengenai pelaksaan perjanjian nuklear 2015 dengan Tehran semalam menggesa anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Banga Bersatu (PBB) mengenakan hukuman terhadap Iran atas “tindakan jahat” negara itu di Timur Tengah.

“Apabila berdepan dengan negara yang terus-menerus melanggar resolusi Majlis ini, kita perlu kepada sebarang kemungkinan,” kata Timbalan Duta Besar AS ke PBB, Jonathan Cohen.

“Kerana itulah kami menggesa anggota Majlis menyertai kami dalam penguatkuasaan sekatan ke atas tingkah laku jahat Iran di rantau ini,” tegasnya.

Ini merupakan mesyuarat pertama Majlis Keselamatan semenjak Presiden AS Donald Trump mengumumkan AS akan menarik diri dari perjanjian nuklear dengan Iran pada 8 Mei.

Pada 24 Mei, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memutuskan buat kali kesebelas bahawa Tehran telah memenuhi perjanjiannya.

Dalam kenyataannya, Cohen sekali lagi menuduh Iran membekalkan peluru berpandu kepada pemberontak Houthi di Yaman yang melanggar sekatan senjata antarabangsa.

Menurut satu laporan baru-baru ini, PBB berkata peluru berpandu yang ditembak ke Arab Saudi dihasilkan di Iran, namun pegawai PBB tidak dapat memastikan sama ada ia dilepaskan sebelum atau selepas sekatan senjata di Yaman pada Julai 2016.

“Pemansuhan perjanjian nuklear yang sedang berjalan tidak akan meletakkan kita dalam situasi yang lebih baik bagi membincangkan isu-isu lain,” kata Duta EU ke PBB, Joao Vale de Almeida, merujuk kepada tindakan Tehran melepaskan peluru berpandu serta pengaruhnya di Timur Tengah.

“Kegagalan ini akan menandakan langkah terkebelakang yang serius bagi rantau ini, bagi langkah pengawalan senjata malah juga bagi keselamatan untuk semua di mana ia berpotensi mempunyai kesan serius,” kata Duta Perancis, Francois Delattre. – AFP, 28 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen