MAHKAMAH di Paris semalam mendakwa seorang wanita berusia 32 tahun atas tuduhan membuat pengakuan palsu bahawa beliau menjadi mangsa serangan militan di bandar raya itu.
Menurut beberapa laporan, wanita terbabit mendakwa ditembak pada bahagian siku atau ibu jari dalam serangan di sebuah stadium dan beberapa lokasi di sekitar Paris pada 13 November, 2015 yang mengorbankan 130 mangsa, manakala ratusan lagi cedera.
Wanita itu juga mendakwa dua rakannya turut terkorban dalam insiden itu.
Sehubungan itu, beliau kini berdepan tuduhan mengemukakan pengakuan palsu dan menipu dana FGTI Perancis, yang membayar pampasan sehingga 20,000 euro (RM93,908) kepada setiap mangsa serangan pengganas.
Beliau yang bergerak aktif dalam persatuan membabitkan mangsa serangan itu, pernah ditemu bual dan gambarnya dipaparkan dalam artikel yang diterbitkan oleh AFP pada November 2017.
Mahkamah menangguhkan kes itu hingga 19 Julai depan. – AFP, 28 Jun, 2018.
Komen