Mudahkan daftar warganegara kumpulan miskin estet dan anak yatim


Radzi Razak

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM Dr Michael Jeyakumar mahukan permohonan warganegara kumpulan terpinggir seperti pekerja India estet di pedalaman dan anak yatim dipermudah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2018.

PARTI Sosialis Malaysia (PSM) mencadangkan perubahan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani masalah rakyat yang tidak memiliki kad pengenalan khususnya dalam kalangan kaum India negara ini. 

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM Dr Michael Jeyakumar yang membawa lebih 10 individu terjejas dari pedalaman Perak dengan isu untuk bertemu Jawatankuasa Penambahbaikan Institusi (IRC).

Semua indivdu tersebut mempunyai masalah mendapatkan dokumen pengenalan diri walaupun lahir dan sudah lama menetap di negara ini. 

“Kita meminta kerajaan menggubal SOP baru untuk meluluskan kewarganegaraan untuk mana-mana kanak-kanak yang dilahir di Malaysia dan mempunyai bapa yang warga Malaysia jika bapa dapat dikenal pasti melalui rekod dalam sijil kelahiran ataupun melalui ujian DNA.

“SOP JPN (Jabatan Pentaftaran Negara) harus diubah suai supaya semua kanak-kanak yang (menjadi) anak angkat oleh keluarga warga Malaysia diluluskan kewarganegaraan mereka jika mereka telah dianak angkat oleh keluarga warga Malaysia selama 5 tahun ataupun lebih,” katanya ketika ditemui selepas bertemu IRC di Menara Ilham hari ini. 

Jeyakumar yang juga bekas ahli Parlimen Sungai Siput mencadangkan pindaan undang-undang bagi memudahkan permohonan kewarganegaraan anak-anak yatim yang dibesarkan di rumah anak yatim sejak kecil walaupun ibu bapa mereka tidak dapat dikenalpasti. 

Selain itu, Jeyakumar turut meminta kebenaran khas untuk mendaftarkan perkahwinan di pedalaman yang boleh dilaksanakan JPN.

Salah seorang daripada pemohon bermasalah yang hadir, Ragu Rajamani, berkata, beliau ditinggalkan ibu bapanya ketika masih bayi, dibesarkan di rumah anak tatim tanpa sesiapa melakukan pendaftaran kelahirannya sehingga tidak dapat membuka akaun KWSP dan Socso untuk pekerjaannya.

“Saya tak boleh membuka bank dan banyak lagi kesusahan saya tanggung. Kita mahu kerajaan baru lihat kes saya,” katanya.

Bagi Kamaladevi Kanniapan, 40, seorang suri rumah pula beliau tidak dapat mendaftar dokumen pengenalan diri kerana ibu bapanya yang membesar di sebuah estet di Perak tidak pernah mendaftar perkahwinan walaupun bapanya mempunyai kad pengenalan. 

“Kami miskin dan terpinggir. Kegagalan untuk mendapatkan kerakyatan menyebabkan kami hidup tanpa pendidikan dan kemahiran. 

“Sebab itu kami dilayan macam orang warga asing. Dan kos bersalin anak saya juga dibayar harga orang warga asing yang pernah menelan sehingga RM6,000,” katanya.

IRC ditubuhkan pada 15 Mei dan akan mengemukakan penemuan dan cadangannya kepada Majlis Penasihat Kerajaan, yang kemudiannya menyampaikan laporan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Lima anggota jawatankuasa adalah hakim bersara Mahkamah Rayuan K.C. Vohrah, Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, Presiden Persatuan Patriot Nasional Mohamed Arshad Raji, Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) S. Ambiga dan profesor undang-undang Universiti Malaya Shad Saleem Faruqi. – 27 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen