Klinik 1Malaysia kini jadi klinik komuniti


Zulkifli Sulong

Klinik 1Malaysia akan jadi Klinik Komuniti, sebilangan akan ditutup kerana jumlah pesakit rendah, yang lain akan ditambah baik, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2018.

KLINIK 1Malaysia kini diberikan nama baru iaitu klinik komuniti, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Dalam sidang media hari ini, Dzulkefly berkata, selain nama baru, klinik tersebut juga akan ditambah baik.

Sebilangan klinik yang mempunyai jumlah pesakit rendah juga akan ditutup.

“Kami memutuskan untuk memberi nama baru iaitu Klinik Komuniti bagi menggantikan Klinik 1Malaysia.

“Ini sejajar dengan matlamat kami agar klinik ini menawarkan khidmat kepada komuniti sama ada di bandar, luar bandar dan pinggir bandar,” katanya pada sidang media yang diadakan di Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini.

Klinik Komuniti akan menyediakan pegawai perubatan dan pegawai farmasi atau sekurang-kurangnya penolong pegawai farmasi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Kementerian juga akan melakukan audit mengenai bilangan klinik berkenaan sama ada perlu dikurangkan atau sebaliknya.

“Bagi klinik yang tidak memenuhi kriteria ditetapkan iaitu memperoleh bilangan pesakit kurang 50 orang sehari, ia akan ditutup.

“Sebagai rumusan, kementerian akan mengkaji semula operasi klinik itu mengikut lokasi dan keberkesanan perkhidmatannya,” katanya.

Pada masa sama, Dzulkefly berkata pihaknya akan memasukkan peruntukan tambahan berhubung cadangan penjenamaan semula
Klinik 1Malaysia dalam bajet baharu yang dijangka dibentangkan Julai ini.

Klinik 1 Malaysia yang ditubuhkan di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional itu kini mempunyai 351 buah seluruh negara.– 27 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen