Serangan udara memaksa hospital ditutup di selatan Syria 


Salah sebuah hospital di Syria yang mengalami kerosakan dan terpaksa ditutup berikutan daripada serangan udara yang dilancarkan oleh Rusia.– Gambar EPA, 27 Jun, 2018.

SERANGAN udara ke atas kawasan yang dikuasai pemberontak di selatan Syria menyebabkan tiga buah hospital tidak beroperasi semalaman berikutan tekanan daripada kerajaan untuk menawan semula kawasan berkenaan, kata pemerhati pada Rabu. 

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, serangan bom termasuk oleh pesawat pejuang Rusia, memusnahkan pusat perubatan di bandar Saida, Al-Mseifra dan Al-Jiza di wilayah Daraa.

“Hospital Saida ditutup selepas tengah malam, kerana serangan udara oleh pihak yang tidak dikenal pasti berhampiran kemudahan itu,” kata ketuanya Rami Abdel Rahman. 

Serangan udara oleh pesawat Rusia kemudian mengenai kawasan berhampiran pusat perubatan di Al-Mseifra, memusnahkannya sekaligus menyebabkan ia ditutup, katanya. 

“Hospital di Al-Jiza musnah pagi ini. Serangan udara Rusia terlalu hampir dengan hospital, yang menyebabkan ia musnah dan tidak boleh beroperasi,” tambahnya. 

Bagaimanapun katanya, tiada maklumat berhubung angka kematian atau kecederaan kakitangan perubatan dan pesakit dalam hospital terbabit. 

Penutupan terbaharu menjadikan lima buah hospital ditutup setakat ini oleh kerajaan Syria.

Pihak tentera meningkatkan serangan udara, serangan roket dan menjatuhkan bom di kawasan yang dikuasai pemberontak di Daraa dan kawasan kejiranan di wilayah Quneitra pada 19 Jun lalu. 

Pesawat pejuang Rusia kemudian memulakan serangan dan tentera melancarkan serangan ke atas kawasan yang dikuasai pengganas di Daraa pada Selasa.– AFP, 27 Jun, 2018.
 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen