4 negara Teluk heret Qatar ke ICJ


Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir mendakwa Qatar yang kini dipulaukan negara jirannya menghantar pesawat pejuang memintas pesawat komersial di ruang udara Bahrain. – Gambar AFP, 27 Jun, 2018.

MUSUH serantau Qatar termasuklah Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Rabu berkata mereka akan memfailkan aduan kepada mahkamah tertinggi PBB berkaitan dakwaan negara Teluk itu melakukan pelanggaran ruang udara.

Pihak yang terlibat dalam krisis diplomatik serantau itu yang menyaksikan kumpulan diketuai Saudi memutuskan semua hubungan dengan Qatar tahun lepas akan mengemukakan aduan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa di Hague.

Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir memutuskan untuk menghantar kes ruang udara itu ke ICJ atas alasan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) tidak mampu mengendalikan pertikaian itu, kata media Saudi dan UAE.

UAE sudah memfailkan dua aduan kepada ICAO ke atas Qatar yang didakwanya melakukan pelanggaran ruang udara yang mengancam keselamatan penerbangan awam.

UAE menuduh Qatar menghantar pesawat pejuang untuk memintas pesawat dan helikopter komersial di ruang udara Bahrain.

Doha menafikan kejadian itu.

Kumpulan diketuai Saudi memutuskan semua ikatan dengan Qatar pada 5 Jun 2017 menuduh negara kecil Teluk itu menyokong keganasan dan Iran, tuduhan yang turut dinafikan Doha.

Qatar juga memfailkan kes di ICJ menuduh UAE melanggar hak asasi manusia.

Hakim ICJ di Hague- yang mengendalikan kes antara negara- akan mula bersidang selama tiga hari atas permintaan Doha pada Rabu.

Kemelut diplomatik itu menyebabkan negara Teluk itu terasing daripada jiran-jirannya dengan satu-satunya jalan sempadan darat ditutup, syarikat penerbangan negara dihalang menggunakan ruang udara negara sekitar dan warga Qatar diusir daripada negara terlibat. – AFP, 27 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen