KERAJAAN bahagian barat Libya yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Majlis Keselamatan, menyekat “penjualan” kawasan minyak secara haram oleh pemerintah negeri timur yang juga pesaingnya, lapor agensi berita Xinhua.
Gesaan itu berikutan tindakan komander Tentera Darat Libya (LNA) yang berpangkalan di timur, Jeneral Khalifa Haftar mengumumkan pada Isnin akan menyerahkan wilayah minyak itu kepada kerajaan di timur.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, kerajaan Libya mengkritik tindakan itu sebagai tidak sah.
“Langkah itu secara jelas melanggar kuasa dan kepakaran Perbadanan Minyak Negara (NOC) yang berpangkalan di Tripoli, satu-satunya badan diberi kuasa untuk menguruskan pelabuhan dan kemudahan minyak.
“Tindakan sedemikian akan meningkatkan lagi perpecahan dan menjejaskan usaha pihak tempatan dan antarabangsa untuk mencapai kestabilan,” jelas kenyataan itu.
Pada Isnin, jurucakap LNA Ahmed Mismari berkata, Haftar memutuskan untuk menyerahkan wilayah minyak kepada kerajaan interim yang berpusat di timur.
Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas LNA mengambil alih kawasan berkenaan selepas dikatakan berjaya mengusir militan.
Kawasan itu merupakan wilayah minyak utama yang mempunyai pelabuhan minyak terbesar di Libya, dan terletak 500 kilometer timur ibu negara Tripoli.
Walaupun menandatangani perjanjian damai yang ditaja PBB oleh pada 2015, Libya masih terbahagi kepada dua bahagian.
Bahagian barat diperintah kerajaan disokong PBB dan timur oleh pesaingnya, dengan kedua-dua pihak berebut untuk mendapatkan kedudukan yang sah. – Bernama, 27 Jun, 2018.
Komen