Tiada orang Umno tuntut wang dirampas daripada Najib, kata polis


Muzliza Mustafa

Kami tak tahu, perkataan Umno tak tercetak atas duit itu, tiada siapa yang datang tuntut, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Amar Singh Ishar Singh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 Jun, 2018.

TIADA sesiapa daripada Umno yang tampil dan menuntut wang dirampas polis dalam siasatan skandal seleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari kediaman berkaitan Najib Razak, kata polis hari ini.

Malah, Najib sendiri yang juga bekas presiden parti itu yang mendakwa wang itu milik Umno juga tidak menuntutnya, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Amar Singh Ishar Singh.

“Kami tak tahu. Perkataan ‘Umno’ tak tercetak atas wang itu.

“Tapi jika mereka dakwa ia wang Umno, kami akan ambil keterangan dari mereka,” katanya pada sidang media hari ini yang mendedahkan nilai rampasan barangan kemas, wang tunai dan pelbagai barang mewah lain yang dirampas mencecah RM1.1 bilion.

Jumlah wang tunai yang dirampas adalah RM116.7 juta dalam 26 jenis pelbagai bentuk mata wang asing.

Unit Komunikasi Strategik Umno pada 24 Mei lalu mendakwa parti itu memerlukan dana untuk bangkit semula selepas kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Umno akan mendapatkan semula dana ini dan kami memohon polis untuk melepaskan dan memulangkan semula kepada parti selepas siasatan lengkap.

“Umno dalam proses bangkit semula dan pengembalian dana parti ini akan membantu proses itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Seorang lagi pemimpin Umno yang mendakwa wang itu milik parti adalah bekas ahli Parlimen Johor Bharu Shahrir Samad.

Ketika itu, polis hanya habis mengira wang berjumlah RM114 juta yang dirampas.

Unit Umno itu berkata, Perlembagaan Parti membenarkan presiden untuk mencari dan menguruskan dana termasuklah yang digunakan dalam pilihan raya umum. – 27 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen