Majlis Penasihat Kerajaan teliti isu Jakim, perbezaan mazhab 


Radzi Razak

Pertemuan Majlis Penasihat Kerajaan dengan mufti negeri hari ini memberikan tumpuan kepada peranan dan fungsi Jakim serta perbezaan mazhab dalam amalan Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2018.

ISU pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan perbezaan mazhab di Malaysia merupakan antara agenda utama Majlis Penasihat Kerajaan yang bertemu para mufti hari ini.

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengesahkan bahawa isu melibatkan peranan Jakim dibincangkan secara panjang lebar dalam pertemuan tersebut,

“Peranan Jakim juga ada dibincangkan secara menyeluruh dan agak panjang perbincangan itu,” katanya yang enggan mengulas lanjut perkara berkenaan.

Jakim yang menerima dana besar kerajaan dan mempunyai kuasa yang luas menerima kritikan kerana fungsinya bertindih dengan pentadbiran agama bawah kuasa kerajaan negeri.

Asri juga berkata, Majlis Penasihat turut meminta beliau menyuarakan pandangan mengenai pendekatan Islam lebih adil yang turut merangkumi bukan Islam. 

Katanya pendekatan secara menyeluruh itu penting selaras dengan aspirasi Malaysia baharu yang mementingkan hak sama rata. 

“Mereka juga meminta pandangan dari pelbagai isu antaranya pandangan fatwa lebih luas dan pandangan di Perlis tentang isu hak penjagaan anak yang lebih luas,” katanya.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor berkata isu mazhab merupakan antara perkara yang disoal kepadanya dalam pertemuan dengan Majlis Penasihat hari ini.

Tambahnya, beliau menjelaskan kepada majlis itu bahawa orang Islam kini terlalu jumud dan terlalu mengikut satu mazhab untuk selesaikan masalah kemanusiaan.

Sedangkan, masalah umat Islam boleh diselesaikan dengan cara berbeza berdasarkan pandangan mazhab Sunni berbeza dan mengikut kesesuaian zaman, katanya.

Beliau memberi contoh, soal ibadat boleh diselesai mengikut mazhab Shafie seperti diamal orang Islam Indonesia dan Thai.

Isu perniagaan, ekonomi dan sosial pula boleh dicari penyelesaian dalam empat mazhab Sunni yang lain, katanya.

“Kita kena berani merentasi mazhab ini. Kita tak boleh terhad kepada mazhab kita saja. Sebab itu untuk menyesuaikan Islam dengan pandangan zaman.

“Kita tak boleh guna pandangan lama sebab orang dulu guna itu untuk selesaikan masalah zaman dia. 

“Zaman kita sudah berubah ertinya kita kena berubah juga, kita tak boleh bernostalgia dengan lama lama  itu. Semakin lama semakin bagus yang baru semua tak bagus. Itu tak betul,” kata beliau. 

Wan Salim yang menjawat jawatan mufti sejak 2014 turut mencadangkan agar teks agama seperti al-Quran dan hadis disemak dan dinilai maknanya agar dapat kekal relevan. 

“Ada teks (agama) yang mempunyai maksud jelas. Itu tak banyak. Yang banyak, teks bersifat ambiguous (tidak jelas). Ada dua makna, tiga makna,” katanya. – 27 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen