Beg buatan butik termahal di dunia, Bijan antara rampasan siasatan Najib


The House of Bijan, yang terletak di Rodeo Drive, Beverly Hills sejak 1976, menggambarkannya sebagai kedai atau butik mewah paling mahal di dunia di mana untuk memasukinya perlu melalui temujanji sahaja. – Gambar Google pic, 27 Jun, 2018.

BERITA hari ini mengenai beg tangan tempahan khas Bijan yang ditemui di antara barangan dirampas dari premis dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak mungkin kali pertama didengar kebanyakan rakyat Malaysia.

Artikel dalam talian mengenai The House of Bijan, yang terletak di Rodeo Drive, Beverly Hills  sejak 1976, menggambarkannya sebagai kedai atau butik mewah paling mahal di dunia di mana untuk memasukinya perlu melalui temujanji sahaja.

Huffington Post menggambarkannya sebagai tempat “untuk golongan kaya raya membeli-belah”.

Jenama ini dinamakan sempena pereka Bijan Pakzad, yang dilahirkan di Iran tetapi terkenal di Amerika Syarikat kerana rekaan untuk golongan elit Hollywood dan juga presiden Amerika Syarikat.

Bijan digambarkan sebagai tidak segan silu memaparkan suasana kemewahan, dan butik di Rodeo Drive terkenal dengan lantai marmar, pertukangan kayu, candelier kristal dan perabot mewah.

Laman blog The Most Expensive Journal, yang menulis mengenai barangan mewah, mengatakan sehelai tali leher berharga AS$1,200 dan sut tempahan khas pada harga AS$25,000.

Huffington Post berkata kedai itu tidak mengeluarkan aksesori dan pakaiannya dalam jumlah besar, “paling banyak hanya sebilangan kecil” daripada fabrik dan bahan berkualiti bagi mengekalkan keunikan jenama.

Beg Bijan yang didedahkan pihak polis hari ini adalah tempahan khas tidak terdapat di pasaran, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Amar Singh Ishar Singh.

Ia adalah antara 567 beg tangan daripada 37 berjenama yang dirampas. Amar Singh tidak menyatakan nilai beg itu.

Los Angeles dinamakan sebagai satu antara lokasi isteri Najib, Rosmah Mansor diketahui berbelanja di dalam laporan berita mengenai penyiasatan ke atas dana yang didakwa dicuri daripada firma pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd.

Kenyataan Amar Singh mengenai beg tangan Bijan pada sidang akhbarnya hari ini kelihatan bingung dan beberapa wartawan hadir ketawa kerana tidak pernah mendengar tentang jenama itu dan bertanya bagaimana ia harus dieja.

Tidak lama selepas berita sidang akhbarnya tular di media sosial, beberapa pengguna Twitter mula bergurau tentang ejaan terbalik nama jenama itu: Najib. – 27 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen