Wanita pengasas laman web lucah terbesar Korea Selatan ditangkap


SEORANG wanita yang juga pengasas bersama laman web pornografi terbesar Korea Selatan ditahan selepas hidup dalam pelarian di New Zealand selama bertahun-tahun, kata polis.

Soranet dimulakan pada 1999 menyimpan ribuan video lucah haram termasuk “pornografi dendam” dan video pornografi kamera tersembunyi yang merakamkan wanita secara rahsia di lokasi awam.

Mengedar bahan pornografi adalah salah di sisi undang-undang di Korea Selatan walaupun banyak video seumpama itu berada di laman web berpangkalan di luar negara, atau dikongsi secara sembunyi di laman web perkongsian fail.

Soranet yang pernah mempunyai lebih sejuta ahli – ditutup dua tahun lalu susulan aduan daripada kumpulan hak asasi wanita.

Pemilik laman web itu dengan nama Song, 45, pulang ke Seoul minggu lalu selepas pihak berkuasa Korea Selatan membatalkan pasportnya.

Wanita itu ditahan pada Isnin atas kesalahan mengedarkan atau membantu pengedaran video seks menampilkan remaja bawah umur, kata polis.

Suaminya dan satu lagi pasangan yang diketahui sebagai pemilik bersama laman web itu – yang mempunyai kerakyatan Australia atau taraf penduduk tetap – masih berada di luar negara.

Mereka juga didakwa bersubahat dalam aktiviti haram oleh ahli Soranet yang berkongsi video menampilkan wanita dirakamkan secara rahsia di tandas awam, kelas, bilik tukar baju, stesen kereta api bawah tanah dan lokasi awam lain.

Ada juga ahli dituduh merancang rogol berkumpulan – dengan ada yang menyasarkan remaja bawah umur – dan memuat naik video mangsa di laman web itu.

Pemilik laman web itu dipercayai memperoleh ribuan dolar daripada pengiklanan laman web yang mengatur pelacuran dan perjudian – kedua-dua perniagaan yang secara teknikalnya haram di Korea Utara. – AFP, 27 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen