Palestin kutuk serangan Israel di tapak suci umat Islam


PALESTIN pada Selasa mengutuk tindakan Israel menyerang tapak suci umat Islam dan menuduh rejim Yahudi bertanggungjawab terhadap serangan itu, lapor agensi berita Xinhua.

‘‘Pemerintah Israel sedang melaksanakan rancangan meluaskan pengaruh kolonial termasuk ajaran Yahudi Baitulmaqdis, selain menghapuskan rakyat Palestin di wilayah yang diduduki,” menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar.

Kenyataan dikeluarkan selepas pertempuran antara Palestin dan Israel meletus berikutan tindakan rejim itu masuk ke Nablus di Tebing Barat, dan melakukan ritual di Makam Joseph, sebuah tapak dianggap suci oleh umat Islam dan Yahudi.

Sumber perubatan mengatakan lebih 35 warga Palestin termasuk wartawan wanita dan kanak-kanak cedera, apabila tentera Israel melepaskan tembakan menggunakan peluru getah dan hidup, gas pemedih mata serta bom tangan untuk menyuraikan rakyat Palestin.

Pihak Israel turut menyerang penduduk awam Palestin dan kenderaan mereka di kampung Burqa.

Menurut kementerian itu lagi, sokongan Amerika Syarikat terhadap Israel menggalakkan kemaraan rejim itu dan meningkatkan “provokasi serta keganasan terhadap Palestin dan tapak suci mereka.”

Palestin menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) “mempercepat pelaksanaan mekanisme dan prosedur undang-undang antarabangsa untuk mengaktifkan sistem perlindungan antarabangsa sebelum terlambat”. – Bernama, 27 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen