Polis akan panggil Najib, Rosmah tak lama lagi


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Amar Singh Ishar Singh berkata keterangan Najib Razak dan Rosmah Mansor perlu bagi menentukan sama ada barangan dirampas itu sememangnya hadiah sebagaimana didakwa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 Jun, 2018.

POLIS akan memanggil Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor untuk disoal siasat berhubung wang tunai dan barang kemas yang dirampas di kediaman berkaitan individu berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Amar Singh Ishar Singh berkata, ia bagi menentukan sama ada barangan dirampas itu sememangnya hadiah seperti didakwa Najib.

Polis juga akan mengambil keterangan daripada individu lain berhubung isu tersebut, katanya kepada pemberita hari ini.

“Mereka akan disiasat dan kami juga akan panggil (individu) didakwa pemberi hadiah untuk merakam kenyataan. Kami akan panggil mereka tak lama lagi,” kata Amar Singh.

Menurutnya, 30 individu telahpun mermberi keteranngan kepada polis berhubung barangan yang dirampas itu.

Amar Singh menyifatkan wang tunai serta barangan yang dianggar bernilai antara RM900 juta hingga RM1,1 bilion itu sebagai rampasan terbesar dalam sejarah.

Najib dalam satu wawancara minggu lalu mendakwa, kebanyakan beg tangan yang dirampas polis merupakan hadiah daripada individu tertentu.

Pada bulan lalu, beliau juga mendakwa wang tunai dirampas, yang kini ditentukan berjumlah RM116.7 juta, merupakan dana partinya Umno untuk kegunaan Pilihan Raya Umum ke-14.

Najib dan Rosmah kali pertama memberi kenyataan kepada polis pada 22 Mei dan seterusnya pada 24 Mei. – 27 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen