PASUKAN penyelamat terpaksa meredah hujan lebat hari ini untuk mengeluarkan air dari gua yang banjir di Thailand di mana 12 kanak-kanak dan jurulatih bola sepak mereka terperangkap sejak beberapa hari lalu.
Pasukan bola sepak remaja berusia antara 11 dan 16 tahun itu terperangkap pada gua Tham Luang di utara Thailand sejak malam Sabtu selepas hujan monsun menutup pintu masuk utama.
Ratusan anggota penyelamat bekerja tidak henti-henti untuk memasang pam air bertekanan tinggi untuk mengurangkan banjir di dalam gua, tetapi usaha itu masih tidak berjaya susulan hujan berterusan di wilayah Chiang Rai, berhampiran sempadan Laos dan Myanmar.
“Paras air naik menjadi halangan terbesar dalam operasi menyelamat ini, dan semalam hujan lebat,” kata jurucakap operasi itu, Khanchit Chomphudaeng.
Beliau berkata 1,000 orang digerakkan untuk operasi itu, termasuk pasukan udara dan darat serta penyelam. Anggota tentera juga menghantar pasukan operasi khas untuk membantu dalam usaha menyelamat itu.
SEAL tentera laut Thailand menerusi laman Facebook berkata paras air naik 15cm dalam satu malam dan ruang ketiga di gua itu, dipercayai sepanjang beberapa kilometer sudah pun dibanjiri air.
Anggota tentera membawa hos paip besar ke dalam gua berkenaan untuk terus mengeluarkan air, menurut wartawan AFP di tempat kejadian.
Keluarga mangsa berkhemah di luar kawasan itu dan terus berdoa agar pasukan itu selamat.
Pasukan bola sepak remaja itu dengan nama “Boars”, serta jurulatih mereka berusia 25 tahun mahir dengan kawasan itu dan gua berkenaan, kata pegawai rasmi.
Mereka masuk ke dalam gua itu selepas latihan bola sepak pada Sabtu dan ibu kepada salah seorang pemain membuat laporan kepada pihak berkuasa apabila anaknya masih tidak pulang ke rumah.
Basikal, kasut dan beg sandang milik pemain bola sepak itu ditemui berhampiran jalan masuk gua dan penyelam berkata mereka menemui tapak kaki dan tangan di dalam salah sebuah bahagian di dalam gua itu.
Papan tanda dilarang masuk kepada pengunjung diletakkan di pintu masuk gua ketika musim hujan dari Julai ke November.
Hujan diramalkan sepanjang hari, pada hari ini. – AFP, 27 Jun, 2018.
Komen