MELANIA Trump akan sekali lagi melawat anak-anak pendatang tanpa izin yang tidak ada dokumen diri minggu ini, beberapa hari selepas lawatannya sebelum ini, ketika wakil rakyat masih bercakap tentang dasar imigresen Amerika Syarikat (AS).
Suami wanita pertama itu, Presiden Donald Trump memberi gambaran untuk mengakhiri amalan mengasingkan keluarga pendatang tanpa izin yang membawa kepada keadaan di mana kanak-kanak menangis mahukan ibu bapa mereka ketika ditahan di dalam tahanan seperti kandang, dengan hanya diberikan sehelai selimut.
Tetapi masih belum jelas bagaimana pentadbiran Trump akan menemukan semula lebih 2,300 kanak-kanak yang sudah pun terpisah daripada keluarga mereka.
Kunjungan mengejut Melania pada Khamis lalu untuk melawat kanak-kanak yang ditahan di sempadan AS-Mexico ditenggelami dengan pilihan pakaiannya. Beliau memakai jaket berwarna hijau dengan tulisan “Saya tidak peduli. Anda peduli?” – mesej yang mencetuskan kemarahan ramai terutama di Internet.
Pada satu program di McAllen, Texas, Melania ditanya bagaimana beliau boleh membantu kanak-kanak itu kembali bersama keluarga mereka secepat mungkin.
Jurucakapnya, Stephanie Grisham hanya berkata kunjungan kedua akan dibuat pada minggu ini, tetapi tidak memberikan masa dan tempat. – AFP, 27 Jun, 2018.
Komen