AHLI paramedik berkejar memberikan rawatan kepada legenda bintang bola sepak Argentina, Diego Maradona yang hampir pitam selepas bersorak untuk negaranya ketika menjaringkan gol menentang Nigeria untuk kekal dalam saingan Piala Dunia awal pagi tadi.
Maradona, 57, kelihatan penuh emosi ketika perlawanan di Saint Petersburg yang memerlukan Argentina menang untuk kekal dalam pertandingan.
Ketika Marcos Rojo menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-86, Maradona bersorak dari kota VIP di mana beliau menonton perlawanan itu bersama rakan-rakannya.
Satu video kemudian tersebar menunjukkan pemenang Piala Dunia 1986 itu kelihatan tidak sihat, sukar berjalan dan dipapah ke bilik makan di bahagian VIP oleh dua rakannya dan kemudian duduk di atas kerusi.
Beberapa gambar lain menunjukkan dua paramedik merawatnya, dengan salah seorang sedang memeriksa nadinya.
Media Argentina melaporkan Maradona mengalami tekanan darah tinggi.
Akhbar Ole melaporkan Maradona masih boleh berjalan dan kemudian pulang ke hotelnya.
Bintang legenda itu mempunyai beberapa masalah kesihatan termasuk ketagihan kokain. Pada 2007, beliau dilaporkan nyaris meninggal dunia. – AFP, 27 Jun, 2018.
Komen