2 terbunuh dalam kebakaran tapak pembinaan di Korea 


Asap hitam kelihatan di bangunan apartmen 24 tingkat yang masih dalam pembinaan di bandar Sejong, Korea Selatan. – Gambar EPA, 26 Jun, 2018.

KEBAKARAN di tapak pembinaan bangunan aparment di bandar Sejong, Korea Selatan pada Selasa mengorbankan dua nyawa, seorang dilaporkan hilang manakala 37 orang lagi cedera, kata pihak berkuasa bomba. 

14 pekerja warga China antara yang terlibat dalam kecelakaan itu namun masih belum jelas sekiranya terdapat warga China yang terkorban dalam kejadian itu, kata jurucakap Agensi Kebakaran Kebangsaan.

Daripada bilangan mangsa yang cedera, tiga dilaporkan mengalami cedera parah, tambahnya. 

Kebakaran di bangunan 24 tingkat yang masih dalam pembinaan itu bermula di bahagian tempat letak kereta bawah tanah, kata jurucakap itu kepada AFP. 

“Terdapat bunyi letupan kuat dan saya melihat apii marak serta asap hitam mula berkepul daripada bangunan di seberang jalan,” kata seorang saksi kepada agensi berita Yonhap.

“Pekerja menjerit meminta pertolongan daripada tingkap dan perancah,” kata seorang lagi saksi. 

Pegawai syarikat pembinaan terbabit menganggarkan 169 orang pekerja hadir di tapak pembinaan itu ketika kebakaran berlaku. 

Kira-kira 40 buah jentera bomba bersama 115 anggota dikejarkan ke lokasi untuk mengawal kebakaran namun mereka berdengan masalah gas toksik yang terhasil akibat bahan penebat yang terbakar, kata anggota bomba di lokasi kepada wartawan tempatan. – AFP, 26 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen