Vietnam dipilih sebagai pusat latihan pengaman PBB


Semua kemudahan latihan di Vietnam memenuhi piawaian antarabangsa.– Gambar EPA, 26 Jun, 2018.

VIETNAM dipilih antara empat negara di Asia Tenggara sebagai pusat latihan untuk pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan kursus pertama akan diadakan mulai akhir tahun ini, lapor agensi berita Vietnam (VNA). 

Keputusan itu diumumkan Jabatan Sokongan PBB pada Isnin selepas pemeriksaan ke atas kawasan latihan untuk pasukan pengaman dijalankan di negara anggota Asean.

Tiga negara lain adalah Kemboja, Indonesia serta Thailand.

Wakil negara anggota Asean menyambut baik keputusan tersebut dan mengucapkan tahniah kepada Vietnam kerana dipilih menjadi negara pertama di rantau berkenaan menganjurkan kursus itu.

Semua kemudahan latihan di Vietnam memenuhi piawaian antarabangsa.

Pemilihan itu juga secara tidak langsung menggambarkan penilaian tinggi PBB mengenai komitmen dan sumbangan Vietnam kepada aktiviti misi pengaman. 

Vietnam juga kini sedang bersiap-sedia untuk menghantar pasukan keduanya untuk misi pengaman ke Sudan Selatan.

Sehingga kini, negara itu telah menghantar 20 pegawai untuk bekerja di Misi Kestabilan Bersepadu Multidimensi PBB di Republik Afrika Tengah dan Misi PBB di Sudan Selatan, termasuk seorang pegawai wanita, selepas hampir empat tahun menyertai  misi berkenaan. – Bernama, 26 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen