PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte berdepan kemarahan rakyat negara yang majoriti penduduknya beragama Kristian Katolik itu selepas menggelar tuhan sebagai “bodoh”.
Duterte mensasarkan kepada kisah penciptaan kitab Injil dalam ucapannya, yang mempersoalkan mengapa tuhan mencipta Adan dan Hawa dan mendedahkan mereka kepada godaan.
“Siapa tuhan yang bodoh ini?” soal pemimpin Filipina itu pada Jumaat. “Kamu ciptakan sesuatu yang sempurna dan kemudian kamu fikirkan sesuatu yang menggoda dan memusnahkan kualiti kerja kamu.”
Pemimpin gereja Katolik di Filipina, yang mempunyai 80% penganut di negara itu, membidas kenyataan berkenaan.
“Bagaimana beliau boleh jadi presiden kepada semua rakyat Filipina sekiranya beliau sendiri tidak hormat kepada kepercayaan Katolik?” kata Biskop Pablo Virgilio David di Facebooknya.
Duterte bagaimanapun mempertahankan kenyataannya pada Isnin, namun pada Selasa jurucakapnya mengumumkan telah membentuk jawatankuasa untuk “berdialog” dengan kumpulan agama mengenai kenyataannya.
“Dialog berkenaan bertemakan bagaimana untuk mengurangkan pergeseran antara kerajaan dan gereja,” kata Harry Roque kepada pemberita.– AFP, 26 Jun, 2018.
Komen