Universiti disaran tawar biasiswa untuk tarik pelajar asing


Radzi Razak

Ketua Pegawai Eksekutif EMGS Prof Dr Rujhan Mustafa mencadangkan agar biasiswa tersebut disediakan sendiri oleh institusi terbabit.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 26 Jun, 2018

SATU syarikat milik kerajaan mencadangkan agar pusat pendidikan tinggi menyediakan biasiswa  kepada pelajar asing untuk untuk menjadikan Malaysia hab pendidikan antarabangsa.

Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS) mencadangkan kepada Majlis Penasihat Kerajaan agar negeara ini mencontohi China dan Emiriyah Arab yang sudahpun melaksanakannya 

Ketua Pegawai Eksekutif EMGS Prof Dr Rujhan Mustafa mencadangkan agar biasiswa tersebut disediakan sendiri oleh institusi terbabit.

“Cadangan tadi… bagi biasiswa juga bentuk penuh atau separa, pengecualian yuran dan lain-lain untuk tarik minat,” kata beliau ketika ditemui di Menara Ilham hari ini. 

EMGS merupakan syarikat milik penuh kementerian pendidikan yang bertanggungjawab menguruskan proses kemasukan pelajar asing.

Ia mengendalikan pusat setempat (One Stop Center) kepada semua pelajar asing yang mahu melanjutkan pelajaran ke universiti dan kolej universiti berdaftar di negara ini. 

Menurut Rujhan, sehingga kini 171,000 pelajar asing berdaftar sebagai pelajar antarabangsa di lebih 400 institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia. 

“Kami sasarkan 200,000 pelajar menjelang 2020. Kebanyakan pelajar daripada China, Indonesia, Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), Asia Selatan serta Asia Tengah,” kata beliau. 

Rujhan antara lima wakil yang bertemu Majlis Penasihat Kerajaan yang diketuai Daim Zainuddin hari ini. 

Majlis berkenaan turut menemui Pengarah Pembangunan Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam Rosslina Ahmad Mokhtar dan Pengarah Bahagian Biasiswa Pendidikan Majlis Amanah Rakyat Rohayah Mohd Zain.

Dua lagi yang turut hadir adalah CEO Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera Raja Azura Raja Mahayuddin serta CEO dan Pengarah Urusan Yayasan Khazanah Kamarul Bahrein Shariff. 

The Malaysian Insight difahamkan individu yang bertemu Majlis Penasihat hari ini adalah berhubung agenda biasiswa pendidikan kepada pelajar institusi pendidikan tinggi dalam dan luar negara. 

Kesemua anggota Majlis Penasihat Kerajaan tidak memberi sebarang komen kepada media. – 26 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen