12 kanak-kanak terperangkap dalam gua di utara Thailand 


Anggota pasukan penyelamat mendengar taklimat sebelum meneruskan operasi mencari 12 kanak-kanak malang di sebuah gua yang terletak di sempadan Laos dan Myanmar. – Gambar EPA, 26 Jun, 2018.

IBU bapa kepada 12 kanak-kanak dan jurulatih bola sepak yang hilang di sebuah gua di utara Thailand sejak beberapa hari lalu mengadakan upacara sembahyang di luar gua berkenaan.

Anggota pasukan penyelamat dan penyelam tentera juga turut menambah bekalan makanan mereka bagi meneruskan misi pencarian pada Selasa. 

Ratusan anggota pasukan penyelamat digerakkan untuk mencari kanak-kanak malang terbabit yang memasuki gua Tham Luang pada Sabtu sebelum terperangkap berikutan hujan lebat yang menyebabkan paras air di dalam gua terbabit meningkat membanjiri pintu masuk gua itu. 

Keluarga mangsa yang terlibat berkhemah di kawasan luar gua terbabit, turut mengadakan upacara keagamaan dan berdoa untuk keselamatan mangsa. 

“Saya berdoa kepada tuhan. Namun saya yakin mereka akan selamat. Mereka pernah memasuki gua berkenaan sebelum ini,” kata salah seorang bapa kepada kanak-kanak malang terbabit.   

Ada ahli keluarga mangsa setia menunggu di luar gua yang terletak di sempadan antara Laos dan Myanmar, yang mana orang ramai turut menyumbangkan bekalan air dan makanan. 

“Anakku, saya di sini untuk selamatkan kamu,” kata salah seorang bapa, manakala ibu bapa yang lain turut menjerit: “Pulanglah anakku!”

Kanak-kanak terbabit berusia antara 11 dan 16 tahun, berlindung dalam gua berkenaan daripada hujan sebelum pintu masuknya dinaiki air, menyebabkan laluan masuk sepanjang beberapa kilometer ke dalam gua berkenaan tenggelam. 

Anggota pasukan penyelamat menemukan basikal, kasut bola dan beg sandang di pintu masuk gua itu pada Isnin, dan pasukan penyelam turut menemui kesan tapak kaki di salah satu laluan gua berkenaan. – AFP, 26 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen