50 monyet terselamat manipulasi pengusaha pertunjukan haiwan di Indonesia


Jaringan Bantuan Satwa Jakarta dan pentadbiran tempatan Jawa Barat menyasarkan untuk menyelamatkan 500 monyet daripada pertunjukan jalanan 'Topeng Monyet' di kawasan Jawa Barat. – Gambar EPA, 26 Jun, 2018.

JARINGAN Bantuan Satwa Jakarta (JAAN) menyelamatkan sekurang-kurangnya 50 ekor monyet daripada pengusaha-pengusaha “topeng monyet,” terma tempatan bagi pertunjukan monyet bertopeng, di beberapa kawasan dalam Provinsi Jawa Barat, lapor agensi berita Antara.

“Sehingga Jun tahun ini, kami menyelamatkan 50 ekor monyet menerusi satu program dikenali sebagai Hentikan Topeng Monyet, yang dianjurkan bersama Pentadbiran Provinsi Jawa Barat.

 “Monyet ekor panjang diselamatkan dari beberapa daerah seperti Bandung, Cirebon, Tasikmalaya, Bogor dan Bekasi,” kata Zai, penyelaras Bahagian Penyitaan bagi Perdagangan Hidupan Liar JAAN.

Spesies itu amat popular di Indonesia kerana menjadi tarikan dalam pertunjukan monyet menari.

Dalam bahasa Indonesia, ia digelar sebagai Topeng Monyet.

JAAN dan pentadbiran tempatan Jawa Barat menyasar untuk menyelamatkan sejumlah 500 haiwan daripada pertunjukan jalanan topeng monyet di kawasan ini.

Daerah Bekasi mempunyai pertunjukan Topeng Monyet paling banyak berbanding kawasan lain di Jawa Barat.

“Kesemua monyet dibawa dari Tasikmalaya. Kami mempunyai data yang menunjukkan terdapat 500 keluarga melatih monyet untuk pertunjukan Topeng Monyet di sana,” kata Zai.

Monyet yang diselamatkan akan menjalani pemulihan dan rawatan selama tiga tahun sebelum dilepaskan di kawasan Gunung Tilu di Soreang, Bandung. – Bernama, 26 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen