SERAMAI 22 suspek, termasuk timbalan ketua suruhanjaya polis Addis Ababa, hadir di mahkamah di ibu negara Ethiopia, berkaitan kes serangan bom tangan pada perhimpunan yang dihadiri Perdana Menteri Abiy Ahmed, lapor syarikat penyiaran FANA.
Bagaimanapun, laporan tidak memberikan butiran lanjut.
Serangan selepas Abiy selesai berucap di Meskel Square di Addis Ababa itu berlaku pada Sabtu menyebabkan dua terbunuh dan ramai lagi cedera.
Menurut FANA, suspek yang berada di mahkamah termasuk timbalan pesuruhjaya polis Girma Kassa. Beliau antara sembilan pegawai polis yang ditangkap kerana dikatakan mempunyai kaitan dengan insiden berkenaan.
Kejadian itu menimbulkan kebimbangan terdapatnya bantahan terhadap pembaharuan yang diperkenalkan Abiy sejak menjadi perdana menteri pada April.
Antara pembaharuan dilakukan ialah membebaskan pembangkang yang dipenjarakan, melonggarkan campur tangan kerajaan terhadap ekonomi dan memperbaiki hubungan dengan Eritrea.
Letupan bom berlaku sebaik Abiy menamatkan ucapannya di hadapan puluhan ribu penyokong di sebuah dataran di Addis Ababa.
Seramai 30 suspek ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan serangan itu dan setakat ini tiada maklumat didedahkan pihak berkuasa siapa individu yang bertanggungjawab.
Pada Isnin, ketua Suruhanjaya Polis Ethiopia, Zeinu Jemal berkata, pakar dari Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat akan turut membantu siasatan.
“Bantuan itu bagi mengesan dalang kejadian itu,” katanya kepada Perbadanan Penyiaran Ethiopia.
Abiy berikrar untuk mewujudkan kerajaan lebih telus dan mendamaikan sebuah negara yang bergolak sejak 2015 disebabkan protes.
Ethiopia turut membebaskan ribuan pembangkang yang dipenjara sejak awal tahun ini, termasuk anggota kumpulan bersenjata.
Di samping itu, Abiy menggubal beberapa dasar utama termasuk penswastaan separa monopoli telekomunikasi dan Syarikat Penerbangan Ethiopia milik kerajaan.
Beliau juga mengumumkan Ethiopia akan melaksanakan perjanjian damai dengan jiran Eritrea yang ditandatangani pada tahun 2000 selepas dua tahun berperang.
Selama bertahun-tahun, Addis Ababa enggan melaksanakan perjanjian itu, mengatakan ia mahu lebih banyak perbincangan diadakan.
Ethiopia merupakan satu daripada negara di Afrika yang ekonominya paling pesat berkembang tetapi menurut penentang gabungan Front Demokratik Revolusi Rakyat Ethiopia (EPRDF) yang memerintah sejak 1991, manfaatnya tidak dikongsi secara adil antara kumpulan etnik dan wilayah di negara berkenaan. – Bernama, 26 Jun, 2018.
Komen