Azmin ambil tindakan undang-undang terhadap ‘Toyol of Selangor’


Radzi Razak

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali sudah mengarahkan peguamnya mengambil tindakan terhadap pemilik Toyol of Selangor yang mendakwa beliau mempunyai simpanan RM300 juta di luar negara hasil rompakan di Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2018.

PEGUAM Azmin Ali sudah diminta mengambil tindakan undang-undang ke atas pemilik blog, “Toyol of Selangor” yang mendakwa bekas menteri besar Selangor itu memiliki simpanan RM300 juta dalam akaun bank luar negara.

Menurut Setiausaha Akhbarnya Mohd Hassanal Bolkiah Mohd Yusoff, Azmin telah meminta pasukan guaman menfailkan permohonan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti identiti pemilik blog tersebut bagi tindakan susulan.

Azmin sekarang adalah menteri hal ehwal ekonomi Kabinet Dr Mahathir Mohamad di peringkat kerajaan persekutuan.

“Tindakan undang-undang ini bertujuan menghentikan penyebaran fitnah yang secara sengaja berniat jahat untuk menggugat kewibawaan dan integriti menteri hal ehwal ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hassanal lagi, Azmin turut kecewa dengan “gutter politics” (politik kotor) yang timbul kerana fitnah itu.

Ahad lalu, Azmin menempelak dakwaan blog berkenaan dan menyifatkan ia sebagai fitnah dan berniat jahat.

“Ini tidak seharusnya terjadi dalam situasi hari ini. Jika mana-mana pihak ada bukti (berhubung salah laku saya), buat laporan supaya siasatan boleh dibuat.

“Dakwaan (blog) itu berniat jahat dan percubaan untuk menjejaskan reputasi saya,” kata beliau ketika Majlis Rumah Terbuka Selangor di Shah Alam. 

Blog “Toyol of Selangor” itu mula muncul 18 Jun lalu sebelum di sekat SKMM semalam. Pemilik dan penulis blog mendakwa dirinya adalah bekas kakitangan Azmin dan tidak lagi boleh berdiam diri kerana tindakan bekas menteri besar itu yang merompak duit rakyat.

Menurut catatan blog itu: “Hari ini menjadi hari terakhir toyol Selangor (merujuk kepada Azmin) sebagai MB (menteri besar) kerana kini (Azmin) kena beri tumpuan pula untuk merompak aset persekutuan.”

Penulis blog yang tidak diketahui identiti itu mendakwa siasatan bebas menemui pelbagai akaun bank dikaitkan dengan Azmin di banyak negara termasuk di Indonesia, Singapura, Dubai, Hong Kong, India, China, Australia, Switzerland dan Amerika Syarikat. – 26 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen