KRISIS pendatang sudah mencapai “momen tak masuk akal” di Amerika Syarikat tetapi ia juga masalah dunia yang menggambarkan “kepincangan kemanusiaan”, kata pelakon AS terkenal Sharon Stone pada Isnin.
“Kita semua tahu ada momen tak masuk akal di sempadan kita, tetapi ada juga momen ganas, pembunuhan di semua tempat di dunia,” kata pelakon berusia 60 tahun itu pada majlis tayangan dokumentari Holocaust di Paris.
“Ini adalah masalah di setiap negara dunia. Kanak-kanak mati dalam bot, dan mati di pesisir pantai…ia masalah kepincangan kemanusiaan, tidak kisah di mana anda berasa.”
Stone juga menegaskan yang “keganasan menjejaskan kemanusiaan kita, dan keganasan mengajar kita supaya tak pedulikan satu sama lain”.
Ulasan itu muncul selepas Menteri Dalam Negeri Itali Matteo Salvini yang berhaluan kanan melakukan lawatan mengejut ke Tripoli pada Isnin dalam usahanya menyekat kemasukan pendatang.
Di AS pula, Presiden Donald Trump pada Ahad mengukuhkan pendiriannya tentang pendatang walaupun desakan memuncak supaya dasar pemisahan keluarga dibatalkan yang menyaksikan lebih 500 kanak-kanak disatukan kembali dengan keluarga mereka.
Malah dalam satu catatan di Twitter, beliau menulis yang “kita tak boleh membenarkan orang ini menakluk negara kita”.
Stone bercakap dengan wartawan pada akhir majlis Anugerah Seni dan Filem Paris di mana beliau menayangkan sebuah filem pendek, “An Undeniable Voice” diarahkan Price Arana mengenai Sam Harris yang dipercayai mangsa terselamat termuda Holocaust. – AFP, 26 Jun, 2018.
Komen