AGENSI pelarian PBB di Palestin memerlukan lebih AS$200 juta untuk membiayai projek sehingga hujung tahun ini, apabila sumbangan setakat ini masih gagal menampung pemotongan sumbangan dilakukan Amerika Syarikat.
“Sekolah mungkin tidak dapat dibuka Ogos ini,” kata Miroslac Lajcak, presiden Perhimpunan Agung pada mesyuarat Agensi Kerja dan Bantuan PBB untuk pelarian Palestin di New York pada Isnin, mesyuarat kedua dilakukan dengan penderma dalam tempoh tiga bulan.
“Perkhidmatan lain juga boleh terjejas seawal bulan ini. Aktiviti kemanusiaan di Tebing Barat dan Gaza berdepan risiko.”
UNRWA bergelut dengan krisis kewangan serius selepas AS memotong bajet AS$250 juta untuknya tahun ini.
Persidangan sebelum ini menyaksikan UNRWA masih belum mencapai sasaran bajetnya sebanyak AS$446 juta tahun ini.
“Kegagalan menyediakan sumber yang diperlukan ada risikonya. Lebih kesukaran untuk komuniti. Bertambah tekanan untuk rantau itu. Semakin tidak stabil untuk dunia,” kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.
“Kita perlu melakukan apa yang terdaya bagi memastikan bekalan makanan mencukupi, sekolah dibuka dan rakyat tidak hilang harapan.”
Duta AS Nikki Haley berkata Washington tidak akan mengembalikan bantuan itu selagi Palestin tidak bersetuju “kembali ke meja rundingan” dengan Israel.
Pada Isnin, beberapa negara mengumumkan bantuan mereka, termasuk AS$500,000 dari Mexico dan empat juta euro dari Belgium.
Diasaskan pada 1949, UNRWA menyediakan perkhidmatan sekolah dan kesihatan kepada 5.3 juta pelarian di daerah Palestin, Jordan, Lebanon dan Syria.
Lebih 500,000 pelajar bersekolah di sekolah UNRWA- 54% bajet agensi adalah untuk pendidikan. UNRWA juga menyediakan bantuan kesihatan dan kebajikan.
Agensi itu menggaji lebih 20,000 orang di Timur Tengah, kebanyakan mereka adalah warga Palestin. – AFP, 26 Jun, 2018.
Komen