BARISAN penuh Jemaah Menteri termasuk timbalan-timbalan menteri Kabinet Dr Mahathir Mohamad sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, kata Istana Negara.
Datuk Bijaya Diraja, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dalam satu kenyataan memaklumkan istiadat angkat sumpah jawatan akan berlangsung di Istana Negara pada 2 Julai ini.
“Justeru itu, pihak Istana Negara memohon agar semua media tidak melaporkan perkara-perkara yang bersifat negatif dan tidak tepat terhadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.
Menurut Wan Ahmad Dahlan, Yang di-Pertuan Agong menerima senarai menteri dan timbalan menteri dari Pejabat Perdana Menteri pada Rabu, 20 Jun lalu.
Senarai itu diperkenankan dan dikembalikan semula ke Pejabat Perdana Menteri dua hari kemudian, pada Jumaat, 22 Jun.
Dalam sidang media pada sebelah petang, Dr Mahathir berkata senarai Jemaah Menterinya sudah ada dan akan mengangkat sumpah dalam waktu terdekat.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang butiran lanjut.
Laporan media sebelum itu membayangkan kelewatan pembentukan kabinet itu kerana belum mendapat perkenan Seri Paduka.
Pada 13 Jun lalu, The Malaysian Insight melaporkan jangkaan anggota Jemaah Menteri Dr Mahathir beserta portfolio kementerian yang akan mereka terajui.
Antaranya, dua pemimpin Amanah iaitu Mujahid Yusof Rawa yang dijangka akan dilantik sebagai Menteri Luar dan Khalid Samad yang disebut-sebut bakal jadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri memegang hal ehwal agama Islam.
Senarai barisan Jemaah Menteri itu juga dijangka akan disertai tiga ahli Parlimen dari Parti Warisan Sabah yang bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) di Semenanjung untuk membentuk kerajaan Persekutuan. Mereka ialah Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking, Ahli Parlimen Batu Sapi VK Liew dan Ahli Parlimen Silam Mohamadin Ketapi.
Mohamadin dijangka akan menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan, yang dihidupkan semula selepas dimansuhkan oleh Najib Razak dalam kabinetnya pada 2009.
The Malaysian Insight juga melaporkan pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy akan diberi tanggungjawab menjaga hal ehwal kaum India, selepas usaha kerasnya memastikan pengundi kaum India memilih PH.
Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 10 Mei lepas. Beliau mengumumkan empat menteri awal dalam kabinetnya dengan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga. – 26 Jun, 2018.
Komen