Umno ubah, jangan hanya di bibir


APAKAH agaknya perasaan si Smaug, naga penjaga harta karun dan emas yang bertimbun-timbun banyaknya apabila pada suatu hari dikejutkan daripada lena yang sangat panjang oleh si kerdil bernama Bilbo? 

Tentu sekali marah, kecewa, keliru dan entah beribu macam lagi perasaan yang tidak pernah dialami sang naga saat menyedari keselesaan, kemewahan dan kekebalan yang dimilikinya direnggut sekelip mata. 

Kini cuba bayangkan Smaug ialah Umno dan si kerdil itu ialah rakyat Malaysia yang bersatu suara menolak sang naga yang telah bersemayam di tampuk pemerintahan selama 60 tahun lamanya. 

Ini ialah sejarah yang bukan calang-calang. Ini ialah sejarah yang amat besar dampaknya pada negara secara total. Yang paling terkesan, tentunya Umno.

Jika tidak dek kealpaan dan kebongkakan, Umno pasti akan meneruskan legasinya dalam pilihan raya lepas. Petanda-petanda awal yang diberikan oleh rakyat, suara-suara akar umbi  yang meneriakkan perubahan dan usaha-usaha untuk mengembalikan Umno ke landas perjuangan sebenar ibarat air yang dicurahkan ke daun keladi. Budaya kipas-mengipas dan ruang demokrasi yang semakin menyempit akhirnya memakan diri sendiri. 

Seperti mana Si Smaug yang ralit dengan kekuasaan dan kemewahan yang ada, ia lebih ralit “tidur” daripada mencari jalan untuk menyumbang secara positif kepada mereka yang lain. 

Kekalahan Umno sangat sukar dihadam. Namun, itu hakikat yang mesti diterima. Umno is in a state of shock. Mereka jelas masih terkejut dengan kekalahan ini, mereka masih tidak dapat membiasakan diri menjadi pembangkang, mereka tidak reti bagaimana untuk menjadi pembangkang. Ada juga dikalangan mereka yang masih ‘in denial’, masih mempertahankan kepimpinan dan cara lama, yang masih menyalahkan orang lain diatas kekalahan ini. 

Tidak guna menangguk di air keruh dan terus bernostalgia, Umno bukan sahaja mesti bangkit dan berreformasi  tetapi yang paling utama orang-orang dan ahli Umno haruslah bermunahasabah diri, menerima kesilapan dan kealpaan yang telah mengakibatkan kekalahan parti. Mata yang dibutakan dan mulut yang dibisukan adalah antara penyumbang-penyumbang kepada kerosakkan ini. 

Jangan terus dimomokkan dengan mentaliti pemimpin di atas tetap betul meskipun ternyata terang-terangan salah. Ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus sampai bila-bila pun akan berjalan miring. Begitu juga Umno, jika reformasi kepimpinan tidak dilakukan dengan betul, sampai bila-bila pun paksi perjuangan akan miring dan sukar untuk menjadi pembangkang yang berwibawa. 

Ada yang begitu marah kepada Dr Mahathir kerana bersekongkol menjatuhkan Umno. Bukankah kalian sendiri yang enggan mendengar nasihat beliau? Bukankah kalian yang menyatakan beliau sudah kehilangan sengat? Bukankah kalian yang mengatakan takkanlah rakyat akan mengangkat orang yang berumur 93 menjadi PM buat kali kedua? Nah, kata-kata sinis itu menjadi ludah yang terpaksa ditelan. 

Inilah masalahnya apabila sejarah tidak mahu diteladani dan diperhalusi. Tokoh yang dikeji itu ialah mantan PM Malaysia selama lebih 20 tahun. Tentunya, pengalaman beliau dalam percaturan politik di Malaysia persis ensiklopedia.  Sewajarnya, kita berterima kasih kepada Dr Mahathir. Sekurang-kurangnya, beliau menyedarkan kita daripada kealpaan dan kepongahan yang secara sedar tidak sedar menjadi racun yang membunuh semangat perjuangan Melayu dan nusa bangsa yang merupakan teras kewujudan Umno.  

Anehnya, mereka yang bertanggungjawab atas kekalahan Umno masih lantang bersuara dan berkeras untuk memimpin parti. Di mana logiknya situasi ini? Masakan tikus boleh dibiarkan untuk memperbaiki labu?  Sekiranya mereka ini diberikan mandat, apakah akan berlaku perubahan yang dicanangkan? 

Renungi hal-hal ini: sewaktu mereka berada di dalam kabinet, apakah usulan mereka bagi memastikan parti berada dilandansan yang  benar? Bukankah mereka ini yang terkehadapan melindungi pimpinan lama? Bukankah mereka ini yang menjadi saksi utama transisi gelap Umno? Dengan semua perkara tersebut dicerakinkan, apakah anda percaya mereka ini mampu membawa angin perubahan dalam Umno? 

Ingin saya tegaskan Umno tidak boleh ada bau-bauan pimpinan lama, walau seidikit pun. Umno harus segar dan berwajah baru namun, baru bukan bermaksud muda. Bukannya usia pemimpin yang menjadi ukuran. 

Sisi baru Umno merujuk kepada pemimpin yang bersih, mempunyai reputasi yang cemerlang dan berkaliber bagi mengemudi parti ke dimensi yang berbeza. Rakyat mahu melihat reformasi ini dan mereka kini lebih kritikal apatah lagi “eksperimen” yang mereka ciptakan dalam PRU14 membuahkan hasil. Rakyat kini lebih terbuka mata dan akal. Mereka lebih celik oleh kuasa yang mereka punyai. 

Siapa-siapa sahaja yang gagal berkhidmat dengan baik, akan dikuis oleh pangkahan di kertas undi. Demokrasi di Malaysia telah memasuki era baru dan hal ini mesti difahami dengan sebaik-baiknya oleh pemimpin baru yang bakal menggalas Umno di pundaknya. 

Perubahan ini haruslah bermula dari bawah, bermula dari sayap hinggalah ke atas. Jika dilihat pemilihan sayap tempoh hari, ia sangat mengelirukan ibarat Umno masih tercari-cari identitinya. 

Saya percaya pemilihan ketua-ketua sayap baru-baru ini sememangnya hasrat dari ahli-ahli dari akar umbi namun saya juga percaya ramai ahli parti tidak mengenali pun exco-exco sayap yang dipilih. Mereka hanya mengikut ‘Cai’ yang diberikan oleh pimpinan mereka di bahagian. 

Ini amat menyedihkan, kerana jelas mereka tidak tahu siapakah yang mereka angkat sebagai pemimpin, benar ada diantara mereka yang dipilih adalah calon-calon yang berkaliber dan profesional, namun mengapa diangkat juga calon-calon yang jelas akan merosakkan parti? 

Mengapa diangkat wira papan kekunci yang diberi dedak oleh pimpinan terdahulu yang merosakkan parti? Mengapa diangkat orang yang terlibat menjadi pemangsa dalam keganasan rumah tangga? Memanglah pisang setandan ada yang molek, ada yang buruk, namun disaat Umno kini, kita harus benar-benar teliti dalam memilih pemimpin. 

Nepotisme yang keterlaluan juga haruslah dijauhi. Tidak salah untuk mengangkat anak-anak pemimpin yang terdahulu, malah, ia dialu-alukan. Namun janganlah pula ada yang duduk bersidang sekali, ayahnya ketua bahagian, anak pula bendahari dan ketua pemuda, emaknya ketua wanita, atuknya pengerusi tetap manakala sepupu pemeriksa kira-kira. Jika hal ini berlaku ahli-ahli akan semakin jauh dengan parti kita, dan Umno akan terus kekal sebagai parti yang eksklusif. 

Tugas memulih dan mereformasi Umno ini bukan sesuatu yang mudah. Ia akan mengambil masa. Kepercayaan yang hilang tidak mudah untuk dibeli kembali. Imej lama Umno mesti dibuang dan ia baru perlu bebas dan segar wajahnya. 

Faktor Dr Mahathir dan diversiti kerajaan sekarang telah mengubah landskap politik negara. Umno perlu bijak merancang strategi. Apakah kita bakal menurut sahaja atau dalam kata lainnya “go with the flow” atau menongkah arus. 

Pada masa yang sama, Umno kini selaku pembangkang, perlulah cerdik memainkan peranan. Fungsi sebagai “check and balance” perlulah dipraktikkan sebaik mungkin dan janganlah memainkan isu-isu politik yang dangkal dan tidak berasas. Inilah masa yang paling sesuai untuk memperkasa amalan demokrasi dengan percaturan politik yang matang.  

Oleh itu, langkah pertama yang bakal diambil mestilah tepat. Dalam hal ini, pemilihan pemimpin tertinggi. Kalau betul kepala kereta api, InsyaAllah, lurus jugalah koc-koc yang lain. Pemimpin-pemimpin yang bakal mengisi barisan depan pentadbiran parti mestilah berwawasan, bersih, beretika dan strategis seorang pemimpin yang dapat merepresentasi kelahiran semula Umno. 

Saya yakin kedapatan individu-individu yang layak. Mungkin mereka ini tidak begitu popular atau tidak begitu lantang bersuara, namun sangat cekap bekerja. Mereka ini harus diketengahkan dan diberikan peluang. Dengan itu, pilihlah pemimpin dengan bijaksana justeru kelestarian Umno sedikit sebanyak bergantung kepadanya. Pepatah Melayu ada menyebut, sekali air bah, sekali pasir berubah. Air sudah pun bah, ayuh Umno segera bangkit dan berubah! – 26 Jun, 2018.

* Aizat Fikri Nasir Fikri ialah mantan timbalan presiden Umno London.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen