Pakatan akan tumbang, Umno akan kembali ke Putrajaya, kata Zahid


Chan Kok Leong

Ahmad Zahid Hamidi juga berkata Pakatan Harapan masih mempunyai pemikiran pembangkang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Jun, 2018.

AHMAD Zahid Hamidi yakin Umno akan merampas semula Putrajaya tidak lama lagi tanpa perlu melalui pilihan raya yang rumit.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata ini berdasarkan anggapan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak stabil dan akan tumbang di masa depan.

“Kita tahu mereka (PH) goyah. Kita mempunyai ahli Parlimen yang paling ramai. Pilih saya dan saya tahu apa yang perlu dibuat,” kata Zahid.

Ketika ini Umno mempunyai 54 kerusi dalam Parlimen.

Pemangku presiden itu memberitahu para perwakilan Umno Wilayah Persekutuan semasa taklimat tertutup di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Bagaimanapun, ucapan beliau diperdengarkan melalui pembesar suara di luar dewan.

Menerusi ucapannya, Zahid juga berkata beliau mempunyai hubungan baik dengan hampir semua orang.

“Saya baik dengan orang baru saja keluar,” katanya, merujuk kepada Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim yang baru sahaja dibebaskan dari penjara pada bulan lepas.

“Saya baik dengan orang-orang Sabah dan Sarawak malah orang yang dulu di Pulau Pinang. Mereka dari Amanah saja yang saya tak berapa baik,” kata Zahid.

Zahid sebelum ini berkata tindakan BN Sarawak keluar parti mendapat restu beliau dan mereka akan bekerjasama semula satu hari nanti.

Beliau juga mempunyai hubungan yang baik dengan Presiden parti Warisan Sabah Shafie Apdal.

Malah ada yang mengatakan Zahid mempunyai hubungan baik dengan bekas ketua menteri Pulau Pinang yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Zahid juga berkata, sepanjang enam minggu PH memerintah, ia dilihat tidak mentadbir negara dengan baik, memetik “cadangan” untuk melarang tukang masak warga asing bekerja di restoran tempatan yang diumumkan barau-baru ini.

“PH masih mempunyai pemikiran pembangkang,” katanya.

Zahid akan bersaing dengan lima lagi calon bagi merebut jawatan presiden dalam pemilihan Umno. Antara yang turut bersaing ialah ahli politik veteran Tengku Razalegh Hamzah dan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Lebih daripada 100,000 perwakilan akan mengundi secara serentak bagi pemilihan jawatan tertinggi dan ahli Majlis Tertinggi pada Sabtu ini. – 25 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Mabuk ketum ke

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan