ENAM belas peminat bola sepak maut ditembak di Mexico dalam beberapa insiden serangan susulan kemenangan negara itu dalam perlawanan menentang Korea Selatan pada kejohanan Piala Dunia 2018 yang berlangsung di Rusia, kata polis.
Serangan pertama berlaku di sepanjang sempadan Texas pada kira-kira 11 pagi waktu tempatan, yang menyaksikan enam terbunuh selepas ditembak ketika menonton perlawanan bola sepak itu dalam garaj mereka.
Menurut saksi, sebuah van berhenti di kawasan kediaman mangsa dan sekumpulan penyerang bersenjata dilihat melompat keluar sebelum melepaskan tembakan ke arah peminat bola sepat terbabit.
Jiran-jiran segera menghubungi polis tempatan untuk melaporkan insiden itu dan satu siasatan sedang dijalankan.
Dalam tempoh sejam, lima lagi maut apabila dua penyerang bersenjata merempuh ke dalam sebuah kedai gunting rambut sebelum membunuh dua pelanggan serta tiga tukang gunting yang berada di dalamnya.
Selepas itu, lima lagi mangsa dilaporkan dibunuh sekitar tengah malam Sabtu, yang menjadikan angka kematian meningkat kepada 16 orang.
Mexico membina momentum secara menyeluruh bermula daripada kejayaannya yang menakjubkan ketika menentang juara dunia Jerman pada perlawanan pembukaan sebelum menewaskan Korea Selatan 2-1 pada Sabtu, dan melangkah penuh bergaya bagi mengisi 16 slot bagi pusingan berikutnya dalam kejohanan Piala Dunia.
Beratus-ratus orang membanjiri jalan-jalan di Mexico bagi meraikan kejayaan itu dengan perarakan kecil-kecilan dan minuman beralkohol.
Sebagai tindak balas terhadap keganasan yang merebak di sepanjang sempadan itu, pihak penguatkuasaan undang-undang tempatan mengeluarkan amaran menerusi akaun media sosial mereka, menasihati penduduk agar berada di dalam rumah masing-masing kerana penyerang terbabit masih bebas.
“Jangan ambil ringan kenyataan ini, kami memberi amaran bahawa kami bukan main-main ... sesiapa yang keluar pada 11 malam, sama ada berjalan kaki, menunggang motosikal atau memandu kereta dan van yang tingkapnya digelapkan akan diminta berhenti. Kami tidak mahu keliru dalam mengenal pasti antara anda dengan mereka, jadi sila ambil perhatian,” menurut kenyataan itu.
Satu laporan yang disiarkan oleh Sistem Keselamatan Awam Negara pada Khamis memberi amaran bahawa 2018 mungkin menjadi tahun paling berbahaya dan tragis dalam sejarah negara itu.
Sejak Januari, sejumlah 13,298 orang dibunuh di Mexico, peningkatan 21% berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
Sementara itu, Mei mencatat sejumlah 2,890 kes pembunuhan – menyaksikan anggaran kira-kira 93 mangsa maut setiap hari atau empat orang bagi setiap jam, yang merupakan kadar homisid tertinggi pernah didaftarkan di Mexico sejak 1997. – Bernama, 25 Jun, 2018.
Komen