PRESIDEN Turki, Recep Tayyip Erdogan memenangi pilihan raya presiden, manakala Perikatan Rakyat yang dipimpinnya menang pilihan raya parlimen, lapor agensi berita Xinhua pada Isnin.
Agensi berita kerajaan Anadolu melaporkan, Erdogan, 64, memperolehi 52.5 daripada 98% jumlah undi yang dikira pada Ahad, dalam usaha beliau untuk kekal berkuasa sebagai presiden.
Menerusi kenyataan sejurus keputusan diketahui, Erdogan mengumumkan kemenangan dan menjanjikan era baharu dengan demokrasi serta ekonomi yang lebih kukuh di bawah sistem pentadbiran baharu.
“Keputusan pilihan raya adalah jelas. Rakyat percaya kepada presiden dan peranan kuasa eksekutif. Tanggungjawab besar kini berada di bahu Perikatan Rakyat dan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).
“Sudah tiba masanya untuk meninggalkan semua perdebatan politik semasa kempen pilihan raya dan menumpukan masa depan,” kata Erdogan ketika berucap kepada penyokong di kediamannya di Istanbul.
Pencabar terdekat Erdogan, Muharrem Ince dari Parti Rakyat Republikan (CHP) menerima kira-kira 30% undi.
Calon yang dipenjara, Selahattin Demirtas dari Parti Demokrat Rakyat pro-Kurdish (HDP) mendapat 8.3% undian manakala satu-satunya calon wanita Meral Aksener meraih 7.4% undian.
Pada pilihan raya Parlimen, parti AKP pimpinan Erdogan berjaya meraih 42.4% undi manakala sekutunya, Parti Gerakan Nasionalis (MHP) memperoleh 11.2%.
Jumlah keluar mengundi untuk kedua-dua pilihan raya adalah tinggi iaitu 87%. Turki mempunyai kira-kira 59 juta pengundi.
Turki mengadakan pilihan raya pada Ahad dalam tempoh darurat yang diisytiharkan selepas rampasan kuasa tentera yang gagal pada Julai 2016.
Pilihan raya presiden dan pilihan raya parlimen itu akan menyempurnakan peralihan Turki daripada sistem negara berparlimen kepada sistem eksekutif presiden.
Pungutan Suara rakyat meluluskan peralihan sistem berkenaan pada tahun lalu. – Bernama, 25 Jun, 2018.
Komen