Tragedi sedih bahasa Melayu


SAYA amat terkesan, malah terkilan dengan tindakan yang dilakukan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan rasmi kementerian dalam bahasa Mandarin dan bukannya dalam bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu.

Tindakan tersebut sangat biadab, menghina dan merendah-rendahkan kedudukan bahasa Melayu yang menjadi perkara asas bukan saja dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi dalam setiap amalan dan urusan kerajaan Malaysia.

Ini kerana, kenyataan yang ditulis dan dikeluarkan dalam bahasa Mandarin tersebut merupakan kenyataan rasmi melibatkan urusan pentadbiran negara dan kepentingan awam dan bukannya sesuatu yang bersifat peribadi dan tidak rasmi.

Sebagai negara yang mengangkat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, tindakan sedemikian dengan jelas tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan amalan pentadbiran negara ini.

Malah, secara tidak langsung, tindakan yang mengundang kemarahan dan rasa tidak senang oleh masyarakat umum tersebut, boleh dilihat sebagai sengaja mahu menunjukkan keangkuhan dan sikap semberono beliau dalam menjalankan tugas rasmi kerajaan.

Lebih teruk, beliau sendiri yang sebelum ini, semasa dipertikaikan pelantikannya sebagai menteri kewangan, dengan lantang mengatakan “I am not Chinese, I am Malaysian”. Jika tindakan tersebut bukan sekadar satu gimik politik yang penuh kepura-puraan, sebaliknya bertujuan menunjukkan semangat kebangsaan dan nilai beliau sebarang seorang warga negara Malaysia, mengapa ia tidak diterjemahkan dengan konsisten dan bersungguh-sungguh.

Namun, hari ini selepas memegang jawatan dan menjalankan tugas-tugas rasmi kerajaan, beliau dengan mudahnya melupakan pendirian dan dakwaan tersebut.

Apabila pegawai tinggi kerajaan, yang bertindak atas kapasiti kerajaan dan menjalankan tugas-tugas kerajaan, dengan sedar dan sengaja memilih untuk tidak mematuhi dan menghormati amalan dan Dasar Bahasa Kebangsaan, ia sudah pastilah satu tindakan yang tidak boleh diterima.

Malah, di negara-negara yang mempunyai pelbagai bangsa seperti Amerika Syarikat sekalipun, kenyataan rasmi pegawai tinggi kerajaan akan dikeluarkan dalam bahasa rasmi negara tersebut.

Dan sekalipun ingin beralih daripada bahasa rasmi, sepatutnya Lim mengeluarkan kenyataan tersebut dalam semua bahasa-bahasa utama. Menggugurkan bahasa Melayu bukanlah satu pilihan sama sekali.

Jika tidak fasih, tidak mahir dan tidak pasti akan sesuatu istilah dan penggunaan bahasa Melayu, Lim boleh sahaja mendapatkan khidmat pelbagai agensi kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Melainkan, pada beliau, bahasa Melayu dan semua agensi ini sudah tidak penting dan tidak layak dirujuk.

Tidak keterlaluan untuk kita menyimpulkan perkara ini sebagai satu tragedi yang amat menyedihkan kepada bahasa Melayu. Kerana, belum sampai 100 hari pun kita bertukar kerajaan, bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan sudah ditunjukkan sebagai tidak bernilai dan boleh diabaikan oleh pegawai tinggi kerajaan.

Barangkali pada YB Lim, atas nama Malaysia Baharu, perkara yang menjadi warisan, amalan, kebanggaan dan struktur asas negara ini, layak saja dibuang dan diketepikan agar selari dan memenuhi cita-cita kerajaan baharu.

Memandangkan sekarang ini kita berada dalam Malaysia Baharu, mungkin bukan sahaja amalan kerajaan yang mesti baharu, tetapi kita juga memerlukan satu bahasa baharu bagi menggantikan bahasa Melayu.

Kerajaan seharusnya lebih peka, sensitif dan berhati-hati dalam perkara ini. Jangan sampai kerajaan hari ini dilihat oleh rakyat sebagai “kaduk naik junjung”. Baru saja mendapat kuasa, tindakan dan amalannya sudah jauh melampau dan melebih-lebih sehingga tidak menghormati perkara-perkara asas.

Saya gesa Lim untuk mengemukakan permohonan maaf secara terbuka dan segera kepada seluruh warga negara Malaysia yang menjunjung dan menghormati kedudukan bahasa rasmi negara.

Dan, sebagai peringatan, kenyataan memohon maaf tersebut, mestilah dalam bahasa Melayu. – 25 Jun, 2018.

* Mohamed Khaled Nordin ialah pengerusi Perhubungan Umno Johor.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • masa najib al penyamun bawak masuk geng2 cina merah ke johor keje kau terkilan ke x?

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan