‘Jenama’ Barisan Nasional tercemar, tak berdaya maju lagi


Muzliza Mustafa

Barisan Nasional sebelum ini terdiri daripada 13 parti komponen tetapi selepas kekalahan teruk pada PRU14, gabungan itu kini hanya tinggal tiga parti. – Gambar EPA, 25 Jun, 2018.

GABUNGAN Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara tanpa tercabar selama lebih 60 tahun sudah tercemar dengan tuduhan tentang perkauman dan rasuah dan sepatutnya dibubarkan, kata penganalisis politik.

Minggu lalu, Gerakan mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan pakatan itu, mengikut jejak langkah bekas parti-parti komponen BN di Sarawak. Parti yang masih kekal dalam BN ialah Umno, MCA dan MIC.

“Jenama itu sudah tercemar,” kata Dr Amir Jeniri dari Universiti Malaysia Sarawak.

“Jika kamu tanya saya, bubar saja dan tubuhkan gabungan baru sebaik saja parti-parti itu sudah lebih kuat,” katanya.

Dr Amir berkata tidak mengejutkan jika MIC dan MCA akan mengikut jejak langkah Gerakan.

“Mereka perlu berfikir pantas dan mengambil tindakan drastik,” katanya berkenaan dua parti yang mendakwa mewakili kaum India dan Cina, tetapi kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu.

Parti tunjang BN, Umno juga perlu membuat keputusan dengan cepat tentang hala tuju parti sebelum ia dapat berharap untuk menjadi cukup kuat membina gabungan baharu, kata penganalisis politik Khoo Kay Peng.

“(Umno) perlu berpihak tentang apa yang ia hendak; parti pelbagai kaum atau parti yang mesra dengan PAS.

“Mungkin bila Umno lebih kuat, ia akan dapatkan parti lain menyertainya dan membentuk gabungan dengan nama baharu.”

Ibrahim Suffian dari Merdeka Centre bersetuju, berkata identiti BN atau gabungan baharu bergantung pada Umno, yang akan mengadakan pemilihan parti minggu ini untuk memilih barisan kepimpinan baharu selepas bekas presiden Najib Razak meletak jawatan.

“Ia juga akan bergantung pada keputusan Umno tentang hala tuju parti,” kata Ibrahim kepada The Malaysian Insight.

Perikatan secara rasmi didaftarkan sebagai parti politik pada 30 Oktober, 1957. Ia gabungan parti pemerintah Mala dari 1957 hingga 1963, dan kemudian Malaysia dari 1963 hingga 1973. Parti-parti itu berada di bawah BN pada 1973.

BN ditewaskan oleh Pakatan Harapan, diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, pada Mei 2018.

Pakatan itu pada masa ini memegang 56 daripada 222 kerusi di Parlimen. – 25 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Parti tunjang BN, Umno perlu membuat keputusan dengan cepat tentang hala tuju parti sebelum ia dapat berharap untuk menjadi cukup kuat membina gabungan baharu

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan