Serangan isu bahasa kebangsaan bersifat perkauman


KENYATAAN media berbahasa Cina yang dikeluarkan oleh menteri kewangan diserang oleh Friends of Barisan Nasional atas alasan bahawa Lim Guan Eng tidak menghormati status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dakwaan ini bersifat perkauman lantaran kenyataan media yang dikeluarkan Lim bukan saja dalam bahasa Cina malah turut merangkumi bahasa Melayu dan Inggeris. Dalam keadaan sedemikian, mengapakah Lim dilabelkan sebagai tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?

Tindakan memburuk-burukkan sebegini merupakan taktik Umno selama ini dan fakta sebenar jelas tidak menunjukkan apa yang didakwa. Kelihatannya Umno masih belum belajar daripada pengajaran kekalahan teruk pada PRU14.

Tindakan menteri yang membekalkan kenyataan media terjemahan bahasa Cina kepada media Cina adalah untuk menyalurkan berita rasmi dan data kepada media berbahasa Cina secara tepat.

Ini turut dapat menjimatkan tenaga dan masa untuk membuat terjemahan serta mengurangkan perihal perbezaan maksud atau penggunaan frasa yang berlainan selepas melakukan terjemahan masing-masing.

Malaysia sebuah masyarakat majmuk yang mempunyai pelbagai bangsa dan bahasa. Pengeluaran kenyataan media dalam pelbagai bahasa menunjukkan kerajaan baharu Malaysia menghormati dan menerima kemajmukan budaya dan bahasa.

Bahasa Cina adalah antara tiga bahasa utama di negara kita. Selain China, Hong Kong dan Taiwan, skala media berbahasa Cina di negara kita adalah paling sempurna.

Oleh itu, pengeluaran kenyataan media bahasa Cina oleh agensi kerajaan adalah membantu dalam usaha penyebaran maklumat antara kerajaan dengan media.

Harus ditegaskan bahawa pengeluaran kenyataan media bahasa Cina tidak bermakna tidak mengeluarkan kenyataan media bahasa Melayu. Dakwaan oleh Friends of Barisan Nasional yang ditunjangi Umno bahawa Lim telah menggantikan kenyataan media bahasa Melayu dengan bahasa Cina adalah langsung tidak berasas.

Semua harus menyahut seruan Lim. Selain Kementerian Kewangan, agensi lain di bawah kerajaan persekutuan harus lebih banyak menggunakan bahasa Cina. Selain penggunaan bahasa Melayu dan Inggeris, pegawai harus mula menyesuaikan diri dengan penggunaan bahasa Cina ataupun bahasa ibunda.

Ini dapat memastikan mesej kerajaan dan suara rakyat dapat disampaikan secara berkesan dan membina sebuah masyarakat yang menerima kepelbagaian serta mengilustrasikan kelebihan daya saing Malaysia yang mempunyai kepelbagaian dan kemajmukan dalam serantau ini. – 25 Jun, 2018.

* Chow Yu Hui ialah ADUN Tras (DAP).

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen