Dasar bahasa kebangsaan


BAHASA Melayu sebagai bahasa kebangsaan diputuskan oleh bapa-bapa pendiri Malaysia. Erti “Bahasa Kebangsaan” adalah untuk menjadi bahasa penyatuan bagi seluruh warga negara daripada pelbagai kaum dan daerah.

Sementara setiap negara memerlukan bahasa perpaduan yang jauh lebih mustahak berbanding “bahasa strategik” untuk mencapai maksud politik semata-mata.

Saya mengecam langkah sombong, tidak bertanggungjawab bahkan tidak berperlembagaan oleh menteri kewangan yang mempertahankan tindakan sendiri menggunakan bukan bahasa kebangsaan dalam kenyataan media rasmi Kementerian Kewangan.

Alasan bahawa langkah itu dihalakan untuk media tertentu tidak dapat diterima. Pihak medialah yang wajar menyelesaikan masalah mereka sendiri dengan menyediakan penterjemah.

Alasan menteri kewangan hanyalah alasan semata-mata yang secara diam-diam sebenarnya memandang lekeh serta remeh tunjang kenegaraan iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Hari ini bahasa Melayu milik semua warga negara. Memperlekeh dan meremeh bahasa kebangsaan bererti memperlekeh dan meremeh semua anak bangsa Malaysia dan bukan sahaja orang Melayu.

Sikap degil sebegitu juga boleh membuatkan rakyat salah faham terhadap kerajaan baharu Pakatan Harapan.

Saudara Lim Guan Eng harus menarik balik dasar baharu di Kementerian Kewangan. Sementara perdana menteri, menteri-menteri Kabinet ,YB, sasterawan negara bahkan anggota parti yang insaf dan dekat dengan beliau harus menyampaikan amaran dan nasihat ini segera.

Satu kenyataan terbuka wajar dibuat oleh beliau agar persoalan asas kenegaraan sebegini tidak lagi diulang goncang dan dicabar. – 25 Jun, 2018.

* Hasmi Hashim ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • lol. Why some Malay are so worry about their language will be replace by others? Please, BM still is Bahasa Kebangsaan. There is no issue if LGE want to use other language. Bahasa Jiwa Bangsa, some people are not realize that it is law label us as a Chinese, Indian. Mandarin is mother language for Chinese, they have the right to use it, same as Malay have the right to use BM. Detract not from others, neither be excessive in commanding. This is Malaysia, a country belong to all Malaysian regardless races.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Why need resgister · Ulasan