Beberapa agensi, jabatan KKMM akan dirombak, kata Gobind


Low Han Shaun

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo akan merombak beberapa jabatan dan agensinya berikutan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Jun, 2018.

MENTERI Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo akan merombak beberapa jabatan dan agensinya berikutan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Finas adalah salah satu agensi di bawah kementerian itu.

Menurut Gobind, langkah itu diambil bagi memastikan kementerian terbabit dapat menjalankan fungsinya dengan telus dan lancar.

Beberapa jabatan yang sedang dalam penilaian dan semakan adalah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Saya rasa untuk jabatan tertentu, tiada masalah besar. Tetapi untuk jabatan lain saya nampak ada keperluan untuk melihat semula keseluruhan organisasi dan melihat sama ada terdapat keperluan untuk meneliti keseluruhan struktur,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Gobind berkata terdapat isu berhubung dana kerajaan dan mengenai bagaimana ia digunakan oleh Finas.  

“Terdapat masalah ke mana dana itu disalurkan, dan terdapat keperluan untuk semak dan uji keseluruhan proses pemberian dana,” katanya.

“Apa yang kita perlukan adalah pembaharuan lengkap dan memperbetulkan semula kesemua prosedur, supaya kita boleh pastikan dana itu digunakan sepenuhnya.”

Beliau turut mengesahkan bahawa SRPM sudah mengambil keterangan daripada Finas berhubung siasatan ke atas peruntukan kewangan tahun lalu.

Gobind berkata sementara menunggu hasil siasatan, prosedur pemberian dana Finas akan dirombak.

“Saya hanya boleh pastikan yang saya dimaklumkan oleh SPRM bahawa siasatan sedang dijalankan.

“Ia melibatkan pemberian dana tahun lalu.”

Pada 7 Jun lalu, SPRM menyerbu pejabat Finas. Finas adalah agensi kerajaan berkaitan industri filem dan terlibat dalam mempromosikan filem di Malaysia.

Gobind berkata sebahagian penstrukturan semula itu termasuk mempelajari model pemberian dana negara luar untuk diterapkan dalam Finas.

Finas diberikan peruntukan sebanyak RM50 juta tahun lalu, manakala tahun ini agensi itu menerima peruntukan sejumlah RM36 juta.– 25 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen